The Rhinos teruja berdepan Harimau Selatan di Likas

Dari kiri: Hamran Peter, Abd Hanafie dan Tae Su
Dari kiri: Hamran Peter, Abd Hanafie dan Tae Su
A
A
A

PEMAIN Sabah FC yakin dengan sentuhan pengendali baharu Datuk Ong Kim Swee, keputusan lebih positif mampu dijelmakan apabila melayan kunjungan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Malah menurut pemain tengah The Rhinos, Hamran Peter percaya kehadiran Kim Swee mampu memberi semangat baharu kepada pasukan untuk bermain lebih cemerlang dalam mengharungi baki saingan kejuaraan tertua bola sepak negara tersebut.

"Sejujurnya kita lebih berkeyakinan malah kehadiran Kim Swee mungkin bukan saya sahaja, tetapi juga semua pemain yakin dengan perubahan besar yang dilakukannya terhadap pasukan ini," katanya.

Sementara bagi tonggak pertahanan muda The Rhinos, Abd Hanafie Tokyo Abd Hasim menyifatkan kehadiran Kim Swee sebagai penyelamat kepada Sabah yang kini berada di kedudukan kedua kumpulan dengan dua mata selepas mengharungi dua perlawanan.

"Saya nampak semua pemain mula menunjukkan prestasi yang sangat baik semasa sesi latihan. Dan ini yang kita mahukan sebagai pemain. Lagi pun corak latihan berintensiti tinggi dan ia sesuatu yang bagus bagi saya.

"Kalau saya diturunkan in sha ALLAH, saya buat yang terbaik untuk memastikan kejayaan pasukan. Para pemain Sabah semasa sesi training pun sudah mula menunjukkan peningkatan diri, tiga mata insya-ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, tonggak import Sabah FC, Park Tae Su yang meledak jaringan roket ketika berdepan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini juga menyifatkan corak latihan diterapkan bekas pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai sesuatu yang berkualiti dan berintensiti tinggi.

Artikel Berkaitan: