X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Semakan kehakiman keputusan SC, Mahkamah tolak rayuan Andrew Heng

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan pada Khamis menolak rayuan Andrew Heng terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan semakan kehakimannya berhubung keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Pemantauan Audit (AOB).

SC dalam satu kenyataan memaklumkan, Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Andrew agar membayar kos sebanyak RM15,000 kepada suruhanjaya itu.

Pada 2 Ogos 2019, AOB telah mengenakan celaan terhadap Andrew, rakan kongsi Baker Tilly Monteiro Heng PLT kerana gagal mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa yang berkaitan.

Sebagai rakan kongsi yang terlibat untuk mengaudit entiti berkepentingan awam (PIE), AOB mendapati Andrew telah gagal melaksanakan prosedur audit yang mencukupi dan mendapatkan bukti audit yang mencukupi bagi menyokong kesimpulan yang dicapai mengenai kewujudan tunai serta baki bank dan overdraf bank pada 31 Disember 2014.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, PIE telah menerima pakai tarikh akhir secara awal pada 20 Dis 2014 untuk merekodkan urus niaga banknya.

Andrew kemudian telah membuat rayuan kepada SC berhubung keputusan AOB, namun ditolak oleh suruhanjaya itu yang mengesahkan tindakan AOB pada 12 November 2019.

Menurut SC, Andrew telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang antara lain bertujuan mengetepikan kedua-dua keputusan AOB dan SC.

Pada 25 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Andrew dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM10,000 kepada SC.

Andrew kemudian memfailkan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan.

Kenyataan itu juga menyebut pengumuman celaan terhadap Andrew, yang sebelum ini tertakluk kepada perintah penangguhan pelaksanaan oleh Mahkamah Tinggi, telah ditarik balik susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!