X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

SC minta bantuan orang awam kesan bekas CEO Transmile

Suruhanjaya Sekuriti
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) meminta bantuan orang awam bagi mengesan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Transmile, Gan Boon Aun.

SC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, suruhanjaya itu telah memperoleh waran tangkap terhadap Boon Aun pada 18 Oktober lepas yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi apabila lelaki itu gagal hadir pada pendengaran rayuannya selepas beberapa percubaan dilakukan agar beliau menghadiri prosiding tersebut.

"Boon Aun telah disabitkan pada 27 Ogos 2020 bagi kesalahan dengan sengaja memberikan kenyataan mengelirukan berhubung perolehan Transmile Group Bhd dalam Laporan Suku Tahun syarikat itu mengenai Keputusan Disatukan yang Belum Diaudit bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2006.

"Kenyataan mengelirukan itu ialah mengenai jumlah perolehan yang terdiri daripada lebih RM333 juta jualan rekaan," kata kenyataan itu sambil menambah Boon Aun telah disabit dan dihukum penjara sehari serta denda RM2.5 juta oleh Mahkamah Sesyen.

Menurut kenyataan itu, Boon Aun telah memfailkan rayuan terhadap sabitannya, manakala SC memfailkan rayuan balas terhadap hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen ke atas Boon Aun.

"Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan Boon Aun susulan kegagalan beliau hadir ke mahkamah untuk pendengaran rayuannya.

"Mahkamah telah menetapkan 13 Disember 2021 bagi pendengaran rayuan balas SC terhadap hukuman sementara menunggu pelaksanaan waran tangkap ke atas Boon Aun," kata kenyataan itu.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai Boon Aun boleh menghubungi SC di talian 012 248 4186, 017 360 8329 dan 012 604 3195 atau e-mel ke [email protected] - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!