X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Kerajaan Persekutuan catat hasil RM225.07 bilion pada 2020

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan mencatatkan hasil sebanyak RM225.075 bilion dan terimaan balik pinjaman serta pelbagai terimaan berjumlah RM1.26 bilion pada 2020, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Menurut laporan itu, hasil tersebut merupakan penurunan sebanyak 14.9 peratus daripada RM264.41 bilion yang dicatatkan pada 2019.

Hasil kerajaan Persekutuan terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil dan hasil Wilayah Persekutuan.

Perbelanjaan mengurus pada 2020 berjumlah RM224.60 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM51.360 bilion, sementara perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 berjumlah RM38.02 bilion.

“Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM87.64 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada paras 6.2 peratus,” demikian dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Menurut laporan itu, wang tunai dalam bank pada 31 Disember 2020 yang berjumlah RM23.396 bilion terdiri daripada simpanan tetap kurang tiga bulan berjumlah RM14.078 bilion dan baki tunai di bank berjumlah RM9.31 bilion.

Wang tunai dalam bank telah meningkat sejumlah RM3.663 bilion atau 18.6 peratus berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM19.72 bilion dan ini disebabkan penebusan sebahagian besar pegangan deposit bagi tempoh tiga hingga 12 bulan berjumlah RM3.433 bilion.

Sementara itu, wang tunai dalam perjalanan pada 31 Disember 2020 berjumlah RM2.64 bilion iaitu meningkat sejumlah RM1.870 bilion atau 242.7 peratus berbanding 2019 yang berjumlah RM770.75 juta.

Peningkatan itu disebabkan oleh terimaan hasil cukai pendapatan syarikat dan cukai barang dan perkhidmatan berjumlah RM1.782 bilion.

Pada 31 Disember 2020, sebanyak 83.1 peratus daripada pelaburan kerajaan terdiri daripada wang tunai dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Kumpulan Wang Amanah yang lain berjumlah RM33.29 bilion, manakala sejumlah RM6.77 bilion atau 16.9 peratus pula merupakan pelaburan daripada sumber lebihan Kumpulan Wang Disatukan.

Menurut LKAN, akaun hasil disatukan mencatatkan lebihan hasil berjumlah RM0.475 bilion, dan jumlah ini menurun sejumlah RM0.597 bilion atau 55.7 peratus berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM1.072 bilion.

Lebihan ini telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!