X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Imigresen rugi RM81.69 juta akibat penalti tidak dikenakan

A
A

KUALA LUMPUR - Kelemahan pemantauan dan perjanjian yang tidak jelas telah menyebabkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) kerugian sebanyak RM81.69 juta berikutan penalti yang tidak dikenakan terhadap sebuah syarikat yang mengendalikan kutipan hasil Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 yang dikeluarkan pada Khamis, Imigresen didapati tidak mengenakan penalti terhadap kelewatan serahan pelekat PLKS kepada pengguna berjumlah RM73.89 juta serta penalti kelewatan remitan dan penalti kesilapan mencetak pelekat itu masing-masing berjumlah RM0.49 juta dan RM7.31 juta.

“Pengauditan yang dijalankan di Bahagian Pekerja Asing dan Bahagian Kewangan di Ibu Pejabat Imigresen bagi tahun kewangan 2020 itu turut mendapati tuntutan caj perkhidmatan PLKS oleh syarikat perkhidmatan berjumlah RM25.94 juta juga belum dibayar kerana kelewatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan perjanjian tambahan,” menurut laporan itu.

Justeru, pihak audit mengesyorkan Imigresen agar melakukan penambahbaikan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan syarat dan klausa perjanjian dipatuhi dan dikuatkuasakan bagi menjamin kepentingan kerajaan.

“Sebarang pengecualian hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada pihak yang memberi kuasa dan Imigresen perlu mewujudkan mekanisme pemantauan secara berkala terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat berkenaan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut pemantauan perlu dilakukan terutamanya berkaitan pelekat PLKS yang rosak, lewat serah dan belum digunakan bagi memastikan ia diserahkan kepada pengguna dalam tempoh masa yang ditetapkan dan tidak disalah guna.

Selain itu, laporan berkenaan juga mengesyorkan KDN dan Imigresen untuk memastikan perjanjian tambahan dimuktamadkan secepat mungkin bagi menjamin kepentingan kerajaan dan mengelakkan masalah pembayaran kepada syarikat terlibat.

“Tempoh perjanjian perkhidmatan secara dalam talian pembaharuan PLKS antara KDN dengan syarikat perkhidmatan berkenaan adalah dari Mei 2015 hingga Mei 2020 dan KDN telah mengemukakan permohonan perlanjutan perjanjian kepada Kementerian Kewangan pada 20 Mei 2020.

“Kementerian Kewangan pada 12 Jun 2020 telah meluluskan permohonan berkenan bagi tempoh tiga tahun mulai 23 Mei 2020 hingga 22 Mei 2023 bagaimanapun semakan audit mendapati perjanjian tambahan belum dimuktamadkan,” menurut laporan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!