MOTAC beri rebat tunai RM30 untuk produk kraf

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan pemberian rebat tunai sebanyak RM30 bagi setiap pembelian produk kraf bernilai RM100 kepada ahli-ahli Parlimen dan seluruh Keluarga Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tawaran istimewa itu sempena meraikan hari bersejarah iaitu hari pertama pemakaian batik di Dewan Rakyat pada Khamis.

"Saya nak mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat (YB) yang anggun dan segak mengenakan baju batik Malaysia masing-masing pada hari ini.

"Sukacita saya maklumkan, YB dan semua Keluarga Malaysia akan mendapat rebat tunai bernilai RM30 bagi setiap pembelian bernilai RM100 yang kita tawarkan ke atas pembelian mana-mana produk kraf Malaysia," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, rebat itu diberikan menerusi pembelian di kedai atau 'outlet' kraf di bawah MOTAC, Kraftangan Malaysia.

"Pembelian boleh dibuat di mana-mana 'outlet' kita. Kita ada 'outlet' di Parlimen juga," katanya.

Menurut beliau, inisiatif yang dilakukan itu secara tidak langsung akan membantu industri batik negara.

Pengumuman yang dibuat Nancy itu disambut gembira beberapa ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Tangga Batu (PH), Rusnah Aluai turut berpantun sebagai respons kepada ucapan Nancy mengenai pemakaian batik berkenaan.

"Berbaju batik tampak budiman, MP (ahli Parlimen) wanita tak kurang jelita, pasaran tempatan perlu ditawan, demi membantu industri kita," katanya.