PRN Melaka: UMNO akan pilih calon muka baharu

Ahmad Zahid ketika berucap pada Pelancaran Jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika berucap pada Pelancaran Jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Calon-calon muka baharu yang terbaik akan dipilih untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar beliau, calon-calon lama diyakini akan menyokong keputusan itu dan akan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk diketengahkan sebagai calon.

"Saya yakin pada kali ini kita pilih calon-calon muka baharu yang terbaik.

"Ini tidak bererti calon lama tidak baik. Saya tidak dapat membaca hati mereka, tetapi saya yakin mereka akan beri peluang kepada anak-anak muda untuk diketengahkan.

“Tentunya saya yakin MCA akan melakukan pendekatan yang sama. MIC juga tidak ketinggalan," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional PRN Melaka 2021 di Dewan Tun Hussein WTC Kuala Lumpur pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup serta pimpinan komponen BN.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) turut menampilkan satu manifesto baharu untuk kepentingan rakyat Melaka.

“Kita akan melakukan 'game changer' bukan soal calon saja, tapi kita sudah menentukan manifesto dan garis-garis besar untuk rakyat Melaka sebagai hidangan serta aku janji yang akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah memberitahu, biar manifesto itu pendek tetapi dekat di hati.

“Itu sebabnya manifesto ini juga akan dibawa oleh calon-calon sebagai hidangan kepada pengundi-pengundi di tempat mereka,” katanya.