X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

MEDAC sasar 18,000 peluang pekerjaan dalam bidang francais

Noh Omar. - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) merancang mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam bidang francais untuk tempoh lima tahun bermula dari tahun 2021.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sasaran itu sejajar dengan komitmen jitu kementerian dan Pernas dalam melaksanakan usaha bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais.

“Saya berharap agar Pernas akan terus komited membantu usahawan-usahawan kecil untuk mentransformasikan perniagaan mereka supaya mampu berdaya saing dengan jenama-jenama besar dan kemudian, dikembangkan ke peringkat global.

“Jika dahulu industri francais didominasi oleh sektor makanan dan minuman, kini sektor perniagaan industri francais merangkumi sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan dan penyelenggaraan, kedai serbaneka, pasaraya peruncitan termasuk pusat pembelajaran serta asuhan kanak-kanak.

“Saya yakin industri francais adalah salah satu instrumen untuk merangsang ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada program Business In Transformation (BIT) & Franchisor Engagement (BITFE) pada Rabu.

Program BIT atau Transformasi Perniagaan membantu peniaga kecil ke arah perniagaan francais, ia telah merangsang pertumbuhan model-model perniagaan ekonomi baharu, unik dan berdaya maju sekaligus memberi banyak pilihan kepada pengguna.

Menurut Noh lagi, melalui program BIT, peniaga-peniaga kecil akan dibimbing untuk menaik taraf perniagaan mereka daripada segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan.

Lima jenama telah berjaya mendapat lesen francais daripada pendaftar francais iaitu Putu Bambu World, D’Apple, House Of Mind Excellence (HOME), Otak-Otak dan L’Pizz.

Ramai peniaga-peniaga kecil tersebut juga telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan penambahan saluran mereka. Antaranya ialah Putu Bambu World yang kini mempunyai 70 saluran berbanding 12 saluran sebelum menyertai BIT.

Beliau berkata. MEDAC juga menyedari betapa pentingnya industri francais diperkukuhkan yang mana ia merupakan salah satu sektor penting yang menjadi fokus MEDAC selain daripada sektor koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini termasuk mencatatkan peningkatan daripada segi nilai jualan syarikat-syarikat francais,” katanya.

Berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF), nilai jualan tahunan industri francais bagi tahun 2018 dan 2019 menokok sebanyak 11.3 peratus daripada RM10 bilion kepada RM13.3 bilion.

Sebanyak 1,090 syarikat francais yang berdaftar dan daripada jumlah itu, sebanyak 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 buah negara.

Selain itu, Noh turut meminta agar Pernas, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dalam menyelaraskan konsep francais supaya dapat memudahkan urusan latihan, pembiayaan dan geran usahawan francais.

“Selaku Menteri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bekerjasama dengan semua golongan yang terbabit dalam keusahawanan selari dengan aspirasi cogan kata Keluarga Malaysia.

“Saya yakin bahawa usaha terancang dan bersepadu kita pada hari ini akan membuahkan hasil untuk mewujudkan bangsa usahawan dan Keluarga Malaysia yang makmur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, Pernas menyediakan Program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka, yang mana sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi tujuan ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 350 orang usahawan francais Pernas sedia ada.

“Pernas juga menyediakan moratorium kepada peminjam yang layak bagi semua pembiayaan selama enam bulan dengan jumlah keseluruhan moratorium yang diluluskan adalah kepada 337 usahawan sebanyak RM9.32 juta.

“Sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan lebih daripada RM376 juta untuk membiayai 1,954 usahawan dan pada tahun ini, Pernas telah membiayai sebanyak RM16.9 juta kepada 55 usahawan,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) MEDAC, Datuk Zamri Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!