Menteri tolong jangan salah guna kuasa untuk kempen

SPR telah mengumumkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini.
SPR telah mengumumkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seakan tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, kerajaan memberi jaminan tiada isu pilih kasih melibatkan jemaah menteri bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka nanti.

Walaupun memenangi kerusi merupakan agenda utama bagi parti politik yang bertanding, tidak wajar untuk mereka mementingkan diri dan merisikokan mana-mana individu yang terlibat dalam PRN yang akan bermula dengan proses penamaan calon pada 8 November ini.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan beliau akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat Kabinet akan datang agar menteri-menteri terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya yang bercakap bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR, kerajaan tidak akan mengamalkan 'double standard' serta berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama.

Beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet akan datang dan akan meminta menteri jangan menyalahgunakan SOP ditetapkan MKN dan KKM yang akan dilaksanakan SPR nanti.

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, SPR dengan kerjasama MKN dan KKM kini sedang memuktamadkan penambahbaikan SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRN Melaka yang akan diumumkan sebelum penamaan calon.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akur dengan langkah kerajaan yang tidak membenarkan kempen secara konvensional pada PRN kali ini.

Susulan daripada itu, UMNO akan menggandakan dan memperkasakan strategi digital dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Artikel Berkaitan:

Asyraf Wajdi menambah, walaupun Malaysia sudah mencapai hampir 95 peratus imuniti kelompok seperti yang dikhabarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hakikatnya ia bukanlah lesen besar untuk melakukan kempen secara konvensional.

Justeru itu, UMNO akan memantapkan penggunaan platform media digital sama ada media secara terbuka seperti Facebook, Twitter, Instagram, TikTok mahu pun aplikasi media tertutup seperti Telegram dan Whatsapp bagi memenangi hati pengundi Melaka nanti.

Dalam perkembangan sama mengenai PRN Melaka, Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Selasa memaklumkan tidak akan turut serta walaupun ada permintaan untuk parti itu berbuat demikian.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, biarpun Warisan akan melebarkan sayap ke Semenanjung namun untuk terlibat dalam PRN Melaka, ia masih terlalu awal.

Pendirian itu sekali gus menyaksikan Warisan menjadi parti kedua mengumumkan untuk tidak menyertai PRN Melaka pada 20 November depan selepas pendirian sama dinyatakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Isnin.

Jelasnya, Warisan tidak akan meletakkan sebarang calon sebaliknya akan memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).