Calon muslimat PRU15: Pertimbang merit kelayakan, pengalaman

Siti Ashah (kiri, barisan depan) bersama sebahagian ahli Dewan Muslimat Pas Kedah seusai muktamar tahunan ke-52 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah.
Siti Ashah (kiri, barisan depan) bersama sebahagian ahli Dewan Muslimat Pas Kedah seusai muktamar tahunan ke-52 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Dewan Muslimat Pas Kedah menyerahkan kepada kebijaksanaan Pas Pusat dalam menentukan calon muslimat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Ketuanya, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, pihaknya tidak menetapkan kuota pencalonan muslimat pada PRU15 namun ia perlu dipertimbangkan bersesuaian dengan merit kelayakan dan pengalaman calon sayap parti Pas itu.

Menurut beliau, biar pun pemilihan calon tertakluk pada ketetapan Pas Pusat, namun persediaan tetap dibuat untuk menghadapi PRU15 dalam semua aspek, termasuk kempen, mendidik anak muda dan memenuhi keperluan segenap masyarakat.

“Kita akan terlibat dalam gerak kerja PRU15, memandangkan wanita mendominasi pengundi yang terbesar.

''Malah, penglibatan muslimat dalam pilihan raya sebelum ini tidak dapat dinafikan menyumbang besar dalam kejayaan parti. Oleh itu, program dirancang hendaklah lebih strategik dan berfokus untuk menghadapi PRU15,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada PRU14 lalu, Dewan Muslimat Pas Kedah mengetengahkan lima calon terbaik daripada sayap itu dan menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas yang disandang Siti Ashah.

Empat calon lain adalah di kerusi Parlimen Kubang Pasu, DUN Ayer Hangat, DUN Bukit Kayu Hitam dan DUN Sidam.

Siti Ashah yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmi Kemiskinan negeri berkata, pendedahan ilmu pengetahuan berkaitan hak dan tanggungjawab dalam memimpin juga wajar diterapkan kepada ahli parti agar tampil relevan dan bersedia berdepan cabaran masa kini.

Artikel Berkaitan:

“Setiap ahli perlu mempelbagaikan kemahiran diri terutama berkaitan kepimpinan. Wanita perlu diberikan peluang sebagai pembuat dasar dan diberikan kebebasan bersuara serta hak untuk mendapat peluang secara saksama.

''Malah, wanita harus bijak menggunakan hak sebagai pengundi untuk memilih pemimpin yang berusaha mengangkat hukum Allah SWT pada PRU kelak,” katanya.

Jelas beliau, muslimat hendaklah bangkit memperkasakan sayap parti itu agar dapat memposisikan golongan wanita dalam kepimpinan dan peratusan pemimpin wanita dapat dipertingkatkan.

“Antara cabaran besar menanti Unit Pengundi Milennia pula adalah untuk mencari strategi berkesan dalam mendidik pengundi muda yang memiliki pola pemikiran sukar diduga. Mereka ini hendaklah dibimbing untuk membuat pilihan secara bijak,” katanya.

Siti Ashah berkata, Muslimat Muda tidak boleh lagi berasa selesa dengan keputusan PRU lalu mahupun kedudukan sekarang, terutama selepas kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, iaitu menurunkan had umur mengundi dan had umur bertanding kepada 18 tahun serta pendaftaran pengundi secara automatik.

“Ini antara cabaran baharu yang perlu dihadapi, untuk memahami pemikiran dan kehendak anak muda kerana pada usia ini pemikiran mereka sangat kompleks. Kita harus mendekati golongan ini secara kreatif dan bijak.

''Kajian Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Multi Media UiTM, Profesor Datuk Dr Ismail Sualman pada 2020 mendapati 64.5 peratus golongan muda kurang berminat dengan politik,” katanya lagi.

Pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kedah ke-52, pada Jumaat menyaksikan Siti Ashah kekal menerajui muslimat negeri sesi 2021/2023 apabila menang tanpa bertanding.

Sementara itu, jawatan Timbalan dan Naib Ketua dimenangi penyandang sedia ada, Siti Mekiah Shamsudin dan Fatimah Wan Teh.