Melaka tawar diskaun utiliti, tarik pelabur

Mohd Rafiq (tengah) ketika mempromosikan Skim Satu Pelajar Satu Perniagaan selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Exco kerajaan negeri di Ayer Keroh, di sini, petang semalam.
Mohd Rafiq (tengah) ketika mempromosikan Skim Satu Pelajar Satu Perniagaan selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Exco kerajaan negeri di Ayer Keroh, di sini, petang semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menawarkan insentif diskaun berbentuk utiliti bagi menarik pelaburan baharu dan mampu mencapai sasaran pelaburan RM5billion sepanjang tahun ini.

Exco Pelaburan dan Perindustrian Negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen, insentif yang melibatkan tarif air dan elektrik serta cukai tanah itu bagaimanapun bergantung kepada nilai pelaburan pelabur berkenaan yang melebihi RM1 bilion.

Menurutnya, ia antara usaha yang dilakukan dalam menambah nilai pelaburan dengan menggalakkan kedatangan pelabur berskala besar yang berminat dalam pelbagai sektor terutama industri pembuatan pada tahun ini.

"Kita memberi diskaun tarif air dan kita juga sedia menimbangkan pengurangan cukai tanah dalam kadar tertentu.

"Insentif seumpama itu pernah diberikan kepada sebuah syarikat pembuatan panel solar yang beroperasi di Cheng dan kita mendapat reaksi positif dalam kalangan pelabur," katanya.

Mohd Rafiq berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Exco kerajaan negeri di Ayer Keroh, di sini, petang semalam.

Mohd Rafiq yang juga ADUN Paya Rumput berkata, bagi memperlihatkan perkembangan itu, pihaknya turut menyediakan kertas cadangan pelaburan ke dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal bagi mengurangkan masalah birokrasi serta mempercepatkan kelulusan teknikal agensi berkaitan teknikal yang melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Melaka (SAMB) Pihak berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain lagi.

Menurutnya, dengan wujudnya pelabur baharu akan mampu memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam bidang pembuatan sekali gus memberi impak yang memberangsangkan kepada pertumbuhan ekonomi dengan peningkatan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak lebih 2,500 jawatan kosong diwujudkan kepada golongan bukan siswazah, manakala 24 jawatan kosong bagi golongan siswazah dalam bidang berkenaan hingga 6 Mac lalu," katanya.

Dalam pada itu beliau menyarankan mahasiswa yang mahu mengusahakan perniagaan mengambil peluang berdaftar dengan Skim Satu Pelajar Satu Perniagaan yang setakat ini mencatatkan 3,400 mahasiswa di Melaka telah berdaftar dengan skim itu sejak ia diperkenalkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).