Finas sedia peruntukan RM38 juta dana kandungan digital

Zahidi ketikaPersidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Zahidi ketikaPersidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyediakan RM38 juta peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 di bawah Geran Dana Kandungan Digital (DKD) bagi membantu pengkarya filem berskala kecil mengetengahkan bakat dan karya mereka di platform over-the-top (OTT) seperti Netflix.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, antaranya adalah Dana Mikro Pengkarya berjumlah RM8 juta untuk penggiat industri filem tempatan dalam penghasilan karya melalui pembangunan kandungan kreatif dalam tempoh fasa pemulihan ekonomi akibat Covid-19.

"Penggiat industri profesional dan baharu termasuk di Sabah dan Sarawak boleh memohon bagi kategori Dana Mikro untuk projek baharu (fresh content) yang sedia ada bagi tayangan dalam platform digital dengan maksimum pembiayaan sebanyak RM15,000.

“Atau mereka juga boleh memohon kategori Dana Mikro Pembangunan Skrip dengan maksimum pembayaran sebanyak RM15,000," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas yang mahu tahu inisiatif kementerian itu menerusi Finas dalam mengenal pasti pengkarya filem berskala kecil bagi mengetengahkan bakat dan karya mereka untuk dipersembahkan dalam platform digital seperti Netflix.

Zahidi berkata, Dana Program TV/OTT pula adalah kerjasama dengan Media Prima Berhad bertujuan meningkatkan kandungan kreatif tempatan dan tontonan melalui platform penyiar OTT Tonton Cinema serta menjana semula ekonomi industri kandungan kreatif jangka masa pendek melalui kerjasama dengan penyiar tempatan.

"Sejumlah RM10 juta diperuntukkan untuk dana ini yang menyasarkan kepada syarikat produksi tempatan yang terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: