Mamat Khalid adalah 'P. Ramlee' di zaman kita: Tiara Jacquelina

Tiara menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid sebagai P. Ramlee zaman moden. - Foto/Instagram/@tiarajacquelina
Tiara menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid sebagai P. Ramlee zaman moden. - Foto/Instagram/@tiarajacquelina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengenali rapat Allahyarham Mamat Khalid sejak awal perjalanannya dalam bidang seni, penerbit dan pelakon, Puan Sri Tiara Jacquelina menyifatkan sutradara hebat itu sebagai P. Ramlee zaman moden.

Menurut Tiara, Allahyarham bukan sahaja dilahirkan dengan bakat tetapi juga kecerdasan dan kebijaksanaan dalam menghasilkan sebuah karya seni yang mampu memberi impak kepada masyarakat.

"Allahyarham ialah P. Ramlee di zaman kita. Sangat genius, boleh menulis skrip, mengarah, menyanyi, tulis lagu.

Kebolehannya sangat luar biasa dan saya tak boleh fikir sesiapa pun dalam dunia moden hari ini, yang ada kebolehan seperti Allahyarham.

"Mungkin ramai juga yang tidak tahu, Allahyarham seorang pemuzik yang hebat.

Saya masih ingat dalam satu majlis, Allahyarham bermain piano, semua orang tergamam.

Saya tidak pernah tengok orang bermain piano dengan penuh semangat dan rasa cinta seperti beliau.

"Tetapi genius itu datang dengan satu perangai yang kurang baik iaitu kurang disiplin dalam penulisan skrip, sampai ke satu tahap saya terpaksa kunci Allahyarham dalam bilik bagi membolehkan beliau fokus dalam penulisan dan siapkan skrip dalam masa yang dikehendaki," katanya sambil ketawa, mengenang kembali kisah lucu bagaimana akhirnya skrip karya agung, Puteri Gunung Ledang (PGL) berjaya disiapkan.

Artikel Berkaitan:

Namun Tiara menyifatkan semuanya berbaloi dengan hasil yang diabadikan dalam filem epik yang suatu ketika dahulu merupakan antara filem tempatan termahal pernah dihasilkan.

"Sampai sekarang, masih ada yang terkejut bila dapat tahu Mamat Khalid adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan skrip seindah itu.

Orang lebih mengenali Allahyarham menerusi karya komedi, tetapi itu hanya satu sisi beliau," ujarnya.

Menganggap Mamat seperti abangnya sendiri, Tiara mengakui akan merindui keakraban mereka dan kemesraan ikatan persaudaraan mereka.

"Saya akan rindui partnership kami, perbualan-perbualan kami.

Bukan mudah nak cari individu sepertinya.

"Selepas saya tewas kategori Pelakon Wanita Terbaik di FFM menerusi PGL, Allahyarham menghubungi saya dan meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Katanya, tak mengapa, nanti aku tulis yang lebih bagus dari PGL untuk kau.

"Walaupun sudah lama berlalu, saya tetap tunggu skrip itu.

Dan awal tahun ini, Allahyarham mula menulis, tetapi sayangnya tidak sempat disiapkan.

"Perbualan terakhir kami pun berkisarkan skrip itu, malah kami sudah bercakap tentang aspek produksinya nanti.

Memang terkilan apabila Allahyarham pergi dulu," katanya, diselang-seli tangisan.

Allahyarham Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman tempatan dengan banyak filemnya mencatat kutipan pecah panggung, antaranya Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:Mamat Khalid meninggal dunia