MAFI beri jaminan agihan benih padi di Kedah, Perlis mencukupi

Ahmad (dua dari kiri) bertanya khabar beberapa usahawan yang mengikuti Program Bisnes Menjadi 2.0 selepas penyerahan replika cek di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar pada Ahad.
Ahmad (dua dari kiri) bertanya khabar beberapa usahawan yang mengikuti Program Bisnes Menjadi 2.0 selepas penyerahan replika cek di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa pengagihan benih padi di Kedah dan Perlis adalah mencukupi dan bekalan yang dilaporkan lewat kini dalam proses penghantaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jaminan tersebut diberikan selepas pihaknya berhubung dengan kilang-kilang yang menghasilkan benih padi dan menyatakan mereka telahpun mempunyai bekalan yang mencukupi.

Menurutnya, kelewatan tersebut didapati berpunca daripada permintaan tinggi terhadap varieti benih padi MR 297 oleh petani dan keperluan itu gagal dipenuhi oleh pihak berwajib dalam tempoh penanaman yang telah ditetapkan.

"Apa yang terjadi ketika ini, petani mahukan varieti benih padi MR 297 yang menjadi kegemaran mereka. Ini yang timbulkan masalah kerana kalau boleh bukan hanya satu variety bahkan beberapa variety lain yang setanding dengan MR 297 dapat ditanam.

"Kita menghadapi sedikit kelewatan mengagihkan benih padi kerana fasa pertama dan kedua penanaman padi agak singkat. Bagi menghasilkan benih padi ada masa tempoh rehat ini, benih-benih mesti dibawa dahulu untuk penyelidikan yang mengambil masa dua hingga tiga minggu, kita tidak boleh bagi terus kepada petani," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Ampang Jajar dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas perkembangan kelewatan benih padi yang didakwa menjejaskan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis seperti yang dilaporkan media pada Rabu.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Perasmian Program Bisness Menjadi 2.0 dan hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Makanan, Azman Nasrudin dan Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman serta Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, benih padi yang telah dibersihkan oleh kilang perlu dinilai oleh makmal Jabatan Pertanian terlebih dahulu dengan melakukan beberapa ujian antaranya kelembapan, percambahan, ketulenan dan ujian benih padi sah.

Artikel Berkaitan:

"Empat ujian ini setelah disahkan barulah benih padi ini boleh dijual dengan melalui pembekal terus kepada pemborong dan juga kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) sebelum sampai kepada petani," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang hasrat petani yang mahu menghasilkan benih padi sendiri melalui PPK dan tidak lagi bergantung kepada pengilang, Ahmad berkata, beliau menasihati petani agar melalui pihak yang berautoriti seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Autoriti kita daripada Mardi kerana mereka yang menghasilkan penyelidikan dan mengesahkan jenis padi yang patut ditanam. Kita bimbang kalau petani buat sendiri tidak dijamin sebagai benih padi sah.

"Benih padi ini disahkan oleh Jabatan Pertanian, maknanya benih padi ini bermutu dan boleh memberikan hasil yang sepatutnya," katanya.