Resort luar biasa di Raub

Chalet di pinggir air terjun di Lembah Temir Eco Resort.
Chalet di pinggir air terjun di Lembah Temir Eco Resort.
A
A
A

RAUB - Dua minggu lalu saya berkesempatan menginap di Lembah Temir Eco Resort.

Setelah sekian lama ‘terkurung’ itu merupakan pengalaman pertama keluar daerah dan negeri.

Pengalaman dua malam di situ amat istimewa bagi saya yang meminati aktiviti trekking di hutan dan mendaki bukit.

Tambahan pula tidak selalu sebuah resort mempunyai air terjun asli di dalamnya.

Air yang mencurah dari sungai asal memberikan latar alam yang unik. Air terjun setinggi lebih 100 meter itu menjadi salah satu tarikan utama Lembah Temir Eco Resort.

Air terjun yang terdapat di dalam Lembah Temir Eco Resort.
Air terjun yang terdapat di dalam Lembah Temir Eco Resort.

Kawasan penginapan santai ini terletak kira-kira 25 kilometer dari Raub, Pahang. Ia membentengi hutan semula jadi selain ladang kelapa sawit dan getah.

Sungai Temir mengalir di tengah-tengahnya. Kawasan penginapan ini mempunyai 20 ekar dusun durian, 6.5 hektar kebun sawit dan 3.5 hektar kebun getah.

Artikel Berkaitan:

Malah kebun sawit dan getah itu sengaja dikekalkan bagi memberikan kelainan pada resort ini.

Salah sebuah bangunan berisi bilik-bilik penginapan.
Salah sebuah bangunan berisi bilik-bilik penginapan.

Menurut pemilik Lembah Temir Eco Resort, Che Din Sulaiman, dia mula membina resort berkenaan dengan membeli tanah milik lapan orang pekebun asal kaum Cina.

Kawasan ini turut dikenali sebagai ‘kawasan panas’ sewaktu zaman komunis dulu.

Beliau mula membina resort ini pada Mei 2013 dan siap sepenuhnya pada Mei 2015.

“Tidak mudah membuat sebarang pembinaan di kawasan itu.

“Saya terpaksa bina jalan sendiri untuk tujuan itu, sebahagiannya melalui ladang kelapa sawit milik orang lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Che Din
Che Din

Akhirnya terhasil kediaman santai yang unik. Chaletnya di tempatkan di beberapa kawasan strategik.

Selain di sekitar bangunan induk, beberapa buah chalet juga dibina di anak sungai sedia ada.

Menurut Che Din, di tepi air terjun juga dibina tempat penginapan, tentunya bagi mereka yang sanggup turun dan naik bukit yang agak curam.

Kesemuanya terdapat 33 bilik dan boleh memuatkan 100 orang pada satu-satu masa, menjadikannya resort ini agak eksklusif.

“Salah satu keistimewaan Lembah Temir Eco Resort ialah anak sungainya yang sentiasa jernih di mana terdapat ikan yang berenang secara bebas.

“Orang dewasa dan kanak-kanak boleh mandi di air terjun atau di mana-mana anak sungai di sekitar resort itu,” katanya.

Chalet indah yang dibina di atas sungai.
Chalet indah yang dibina di atas sungai.

Kedua-dua orang cucu saya, Tiara dan Thalia menghabiskan banyak masa mandi manda sambil mengejar ikan berenang di sekitar mereka.

Resort ini juga mempunyai tempat sukan futsal selain kolam renang. Sebuah surau yang agak besar juga disediakan untuk pengunjung.

Untuk mengindahkan kawasan, pemiliknya membina tujuh wakaf yang dinamakan sempena nama wakaf di Kelantan iaitu Wakaf Stan; Wakaf Baru; Wakaf Siku; Wakaf Che Yeh; Wakaf Tuk Wali; Wakaf Zin dan Wakaf Raja.

Kebun getah yang dikekalkan sebagai sebahagian daripada kawasan peranginan.
Kebun getah yang dikekalkan sebagai sebahagian daripada kawasan peranginan.

Nama-mana tempat penginapan juga diambil dari keluarga Che Din sendiri. Beliau seorang usahawan berjaya.

Sebelum itu beliau pernah berkhidmat dengan syarikat Hanafiah Raslan & Mohamed dan kemudiannya Bank Bumiputera (sekarang CIMB).

Bagi mereka yang benar-benar menghargai alam sekitar dan merindui kedamaian asli, inilah tempatnya!