Terengganu syor pelancong ke lokasi pulau wajib jalani saringan Covid-19

Ariffin melepaskan anak tuntung laut ke sungai Mangkuk di Setiu, pada Sabtu.
Ariffin melepaskan anak tuntung laut ke sungai Mangkuk di Setiu, pada Sabtu.
A
A
A

SETIU - Kerajaan negeri bercadang mengkaji keperluan mewajibkan pelancong ke Tasik Kenyir dan lokasi peranginan khususnya di kawasan pulau di Terengganu menjalani ujian saringan Covid-19.

Exco Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu akan diputuskan menerusi mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu yang akan diadakan pada Ahad.

"Kami akan syorkan kepada MKN untuk mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat walaupun Terengganu akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 25 Oktober ini (Isnin).

"Kami juga akan syorkan supaya ujian saringan ini dilakukan sama ada menggunakan sampel saliva (air liur) atau lain-lain kaedah bersesuaian bagi pelancong yang akan ke Tasik Kenyir atau kawasan pulau di Terengganu," katanya dalam sidang media selepas majlis pengisytiharan Kampung Mangkuk dan Kg Penarik sebagai Kampung Pelancongan Terengganu, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ariffin menggesa setiap pengusaha hotel dan chalet memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis mereka berada pada tahap optimum.

"Diharap pengusaha hotel dan chalet mengamalkan SOP ketat dan memastikan semua pelanggan yang berkunjung ke premis mereka mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan Johor dan Terengganu menjadi negeri terbaharu beralih ke Fasa Empat di bawah PPN bermula Ahad ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 selepas meneliti pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan: