Duterte, Tun M kongsi pandangan isu kepentingan bersama

No Image Caption
A
A
A

MANILA - Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata beliau dan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu dalam usaha untuk memperluaskan lagi kepentingan bersama kedua-dua negara.

Ketika berucap pada sidang media bersama di sini hari ini, Duterte berkata antara isu-isu itu ialah komitmen kedua-dua negara, dua daripada pemacu pertumbuhan Asia, untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala bagi mengekalkan kemajuan dan kemakmuran.

"Menyedari sinergi dan dinamisme sektor swasta kami, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk meningkatkan lagi perdagangan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan teguh Malaysia untuk program “Build Build Build”. Ini termasuk peranan aktif syarikat-syarikat Malaysia dalam pembangunan metropolis Clark Green City yang mampan dan pintar, " katanya.

Menurut Duterte, beliau juga gembira berkongsi dengan Perdana Menteri mengenai kemajuan besar yang telah dicapai oleh Filipina ke arah mewujudkan keamanan yang saksama lagi berkekalan di Mindanao.

"Usaha ke arah peralihan bersejarah ke Wilayah Autonomi Bangsamoro dicapai sebahagian besarnya melalui sokongan rakan-rakan antarabangsa kami. Malaysia memainkan peranan penting dalam hubungan ini. Justeru, usaha baik ini perlu diteruskan, "katanya.

Duterte juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan Malaysia yang bertefrusan bagi pembangunan di selatan dan menambah kemajuan Mindanao adalah kunci bagi Filipina dan sub wilayah BIMP-EAGA.

"Saya secara peribadi telah menyaksikan kemajuan yang mendorong dan mengekalkan komuniti ekonomi di sub wilayah BIMP-EAGA melalui pertukaran sosio-budaya dan ekonomi yang aktif merentasi sempadan dan meningkatkan kerjasama antara kastam, imigresen, kuarantin dan hal keselamatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Duterte berkata beliau dan Dr Mahathir juga berikrar untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani isu-isu keselamatan, terutama mengenai keganasan, kegiatan lanun dan jenayah rentas sempadan termasuk memerangi perdagangan dadah secara haram.- Bernama