Kerja naik taraf struktur empang di Sungai Kereh selesai

Mansor (duduk; dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai Sungai Kereh ketika lawatan kerjanya di Pulau Pinang pada Sabtu.
Mansor (duduk; dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai Sungai Kereh ketika lawatan kerjanya di Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah selesai menaik taraf struktur empang dan membuang enapan sungai di Parit Besar, Parit Kubang Menerong dan Parit Kampung Baharu bagi mengurangkan pencemaran di Sungai Kereh, Tasek Gelugor.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, kerja-kerja naik taraf itu dapat mengurangkan pencemaran sedimen akibat pelepasan najis babi dari ladang ternakan di sekitar kawasan ini.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga terus komited menjalankan penguatkuasaan secara berkala terhadap 33 kilang pembuatan makanan termasuk tiga kilang berefluen yang terdapat di sekitar kawasan Sungai Kereh bagi memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

"Setakat ini, kilang-kilang itu memang mematuhi akta ditetapkan dan tidak berlaku sebarang pencemaran dari premis berkenaan, namun pencemaran di Sungai Kereh dipercayai dari ladang ternakan babi di situ, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya pada sidang akhbar ketika membuat lawatan kerja di Pulau Pinang pada Sabtu.

Mansor berkata, bagi mengatasi isu pencemaran yang membelenggu penduduk di sekitar kawasan itu, JAS akan mengukur kualiti air sungai setiap tiga bulan di tiga stesen Sungai Kereh.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan terkini mendapati kualiti air Sungai Kereh berada di kelas ketiga yang masih dalam keadaan sederhana bersih.

Beliau berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Negeri Pulau Pinang agar semua agensi berkaitan terus melaksanakan tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing.

"Kita berharap isu pencemaran ini dapat ditangani dengan lebih berkesan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan derita yang masih berlarutan dan tiada kesudahan yang dihadapi penduduk Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang berhubung isu pencemaran najis babi di Sungai Kereh.

Menurut mereka, pencemaran berlaku akibat longgokan najis babi yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat yang jaraknya kira-kira lima kilometer.