Tiada penyelewengan benih padi

Ronald (kiri) menyempurnakan pelepasan sumbangan MAFI Prihatin kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.
Ronald (kiri) menyempurnakan pelepasan sumbangan MAFI Prihatin kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI) sentiasa memastikan bekalan benih padi yang diperlukan pesawah mencukupi sekali gus mengelak penyelewengan atau manipulasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, antara langkah yang diambil ialah menetapkan harga siling sebanyak RM35 setiap beg Benih Padi Sah (BPS) bermula Februari lalu.

"Penetapan harga siling benih padi kepada maksimum RM35 bagi setiap beg merupakan tindakan yang dapat mengurangkan isu penyelewengan dan penyorokan.

"Jadi ia (penyelewengan benih padi) tiada ruang untuk dimanipulasi demi menjaga masa depan pesawah negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sidang video MAFI bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohammad Mustafa di Pejabat Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA) Johor di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Ronald menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin iaitu produk agro makanan sebanyak 2.5 tan metrik yang akan memberi manfaat kepada 350 orang penerima melibatkan enam rumah kebajikan di sekitar Johor Bahru.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha ( Dasar) MAFI, Azah Hamid Ahmad.

Menurut Ronald, isu benih padi yang dilaporkan di Kedah dan Perlis baru- baru ini lebih tertumpu kepada masalah varieti padi yang dikehendaki oleh pesawah tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Masalah ini tidak serius seperti musim lalu dan lebih kepada isu varieti padi yang dikehendaki pesawah. Ia disebabkan permintaan tinggi terhadap varieti padi MR 297 sehingga tidak mencukupi musim ini.

"Bagaimanapun, bahagian kawal selia padi dan beras bersama agensi lain sudah mengambil tindakan perlu bagi mengatasi masalah yang dihadapi pesawah.

Ronald ( dua dari kiri) menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin di Pejabat FAMA Johor pada Sabtu.
Ronald ( dua dari kiri) menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin di Pejabat FAMA Johor pada Sabtu.

"Kementerian sudah ambil langkah yang perlu bagi mengurangkan isu pengedaran benih. Isu ini perlu diambil tindakan dan penyelesaian segera untuk elak masalah lebih besar dihadapi pesawah," katanya.

Pada Selasa lalu, media melaporkan Badan Bertindak Petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain, mendakwa, pihaknya kecewa apabila masalah pengagihan benih padi masih berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini, selain tiada penyelesaian diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Seterusnya pada Rabu lalu, Jabatan Pertanian dilaporkan memberi jaminan benih padi mencukupi bagi keperluan pesawah melaksanakan penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, berdasarkan data hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 52,922.5 tan metrik benih padi sedang dalam proses pengesahan.

Jabatan itu juga memaklumkan, jumlah berkenaan mencukupi untuk keperluan mengikut jadual penanaman di Kedah dan Perlis hingga akhir November depan.