Iskandar Mizal Pengarah Urusan MAHB baharu

Iskandar Mizal Mahmood
Iskandar Mizal Mahmood
A
A
A

DATUK Iskandar Mizal Mahmood dilantik sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), berkuat kuasa pada Isnin ini.

MAHB dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Iskandar Mizal merupakan tokoh korporat dengan pengalaman lebih 32 tahun dan pernah berkhidmat di beberapa syarikat termasuk multinasional serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pelbagai sektor dengan 18 tahun memegang jawatan kepimpinan.

“Sebelum ini, Iskandar Mizal pernah berkhidmat di MAHB sebagai Pengurus Besar dari 1999 hingga 2003 dengan memimpin Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Portfolio beliau di MAHB merangkumi kewangan, kewangan korporat, pembangunan perniagaan dan hubungan pelabur.

“Selain itu, beliau turut terlibat dalam usaha penerokaan antarabangsa termasuk mengambil alih operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad Rajiv Gandhi di India dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lapangan Terbang Phnom Penh dan Siem Reap di Kemboja,” katanya.

Dalam pada itu, Iskandar Mizal turut mempunyai latar belakang pos dan logistik setelah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad dari tahun 2013 hingga 2015.

Beliau adalah pakar dalam inisiatif pemulihan dan terlibat dalam pemulihan beberapa GLCS.

“Antaranya beliau pernah memimpin usaha pemulihan Media Prima Berhad sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan dari 2019 hingga 2020 dan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dari 2020 hingga 2021,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: