X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Ahli perniagaan rugi RM191,000 ditipu pelaburan mata wang kripto

Mangsa ditawarkan oleh kenalannya untuk menyertai satu skim pelaburan mata wang kripto dengan menjanjikan pulangan satu peratus sehari mengikut tempoh waktu yang ditetapkan. (Gambar hiasan - Foto 123RF)
A
A

KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian berjumlah RM191,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan mata wang kripto pada awal Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat berkata, lelaki berusia 30-an itu telah ditawarkan oleh kenalannya yang merupakan seorang wanita tempatan untuk menyertai satu skim pelaburan menggunakan mata wang kripto dengan menjanjikan pulangan satu peratus sehari mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan.

"Dalam tempoh seminggu, mangsa telah membuat beberapa transaksi pelaburan berjumlah RM242,000 ke empat akaun bank milik seorang individu untuk membeli mata wang kripto bagi membuat pelaburan melalui satu aplikasi yang dimuat turun melalui laman sesawang pelaburan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, status pelaburan yang dibuat itu boleh dipantau oleh mangsa melalui aplikasi e-wallet terbabit.

Beliau berkata, dalam tempoh kurang dari tiga minggu, mangsa juga telah berjaya membuat pengeluaran wang pulangan pelaburan berjumlah RM51,000 dengan membuat pindahan dari aplikasi e-wallet pelaburan berkenaan ke akaun bank miliknya.

Bagaimanapun, katanya, pada pada Isnin lalu, mangsa mendapati aplikasi pelaburan yang dimuat turun menggunakan telefon pintar serta laman sesawang pelaburan berkenaan tidak lagi boleh diakses.

Shafien berkata, mangsa yang mengalami kerugian RM191,000 telah membuat laporan polis pada Khamis selepas mengesyaki dia telah tertipu.

"Kes kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kami ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam membuat pelaburan secara dalam talian mahupun bersemuka.

"Nasihat kami, sentiasalah membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat satu-satu keputusan," katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah lain yang boleh diambil untuk mencegah diri daripada menjadi mangsa penipuan atau scam adalah dengan memuat turun aplikasi 'Check Scammers CCID' untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor talian telefon yang digunakan sama ada pernah terlibat dengan kes-kes jenayah komersil.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!