Putra letak calon tanding PRN Melaka

Hamidah mengesahkan Putra akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRN Melaka pada November depan.
Hamidah mengesahkan Putra akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRN Melaka pada November depan.
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan bertanding buat pertama kali dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung pada November depan.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, empat hingga enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dikenalpasti untuk diletakkan calon yang sesuai.

Jelas beliau, pihaknya optimis mampu memenangi kerusi yang ditandingi berdasarkan situasi politik semasa negara ketika ini.

"Buat pertama kalinya Putra akan menyertai pilihan raya iaitu PRN Melaka. Kita harap kali ini kita dapat memenangkan beberapa calon dan kita rasa dalam kemelut politik yang ada pada hari ini, memang Putra mempunyai peluang yang cerah untuk menang beberapa kerusi.

"Calon-calon sudah dikenal pasti dan saya juga telah berjumpa beberapa calon yang hendak diketengahkan nanti," katanya kepada pemberita selepas ditemui menghantar memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak di hadapan Bangunan Persekutuan Greentown di sini pada Jumaat.

Menurutnya, calon-calon yang disenaraikan hampir dimuktamadkan dan tumpuan kini terarah kepada jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi Putra.

Hamidah berkata, semua calon yang akan diketengahkan itu merupakan anak tempatan yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti golongan profesional, usahawan dan 80 peratus daripadanya merupakan orang muda.

Pada 18 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat wakil rakyat termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ini merupakan kali pertama sebuah negeri di Semenanjung Malaysia mengadakan PRN secara berasingan dan bukan pada Pilihan Raya Umum (PRU).