Empat ditahan cuba pindah balak secara haram

Dua jengkaut disita kerana disyaki digunakan dalam kegiatan pindah balak secara haram dalam kawasan hutan tanah kerajaan Kampung Perlak Mukim Penyor di sini.- Foto JPNP
Dua jengkaut disita kerana disyaki digunakan dalam kegiatan pindah balak secara haram dalam kawasan hutan tanah kerajaan Kampung Perlak Mukim Penyor di sini.- Foto JPNP
A
A
A

PEKAN - Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat cuba memindahkan balak secara haram dalam kawasan hutan tanah kerajaan di Kampung Perlak, Mukim Penyor, di sini pada Khamis.

Lelaki tempatan berusia 30 hingga 36 itu ditahan Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selepas serbuan di lokasi itu kira-kira jam 4 petang.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, ketika serbuan, kesemua lelaki itu dipercayai cuba memindahkan balak yang telah ditebang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui lebih 30 tual balak pelbagai jenis seperti kelat, kedondong dan sesenduk.

"JPNP sedang mengenal pasti jumlah pokok yang ditebang berdasarkan tual balak ditemui itu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Tambah beliau, dalam operasi itu, JPNP turut menyita dua jengkaut, sebuah lori balak dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.

Nor Azirim berkata, sindiket terbabit begitu licik dan dipercayai terlibat dalam kegiatan memindahkan balak secara haram di beberapa daerah di Pahang sebelum ini.

Katanya, dua daripada mereka yang juga dalang kegiatan itu mempunyai pengalaman sehingga mereka sering terlepas setiap kali serbuan di lakukan di beberapa lokasi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun hasil kecekapan penguat kuasa JPNP Zon Pahang Timur, keempat-empat lelaki itu akhirnya berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.

"Sindiket terbabit dipercayai berada dalam hutan itu sejak lima hari lalu dan mula menebang pokok pada Rabu manakala proses memindahkan balak dipercayai dilakukan secara berperingkat," katanya.

Tambah beliau, kejayaan itu susulan maklumat orang awam sebelum 21 anggota penguat kuasa JPNP menyerbu kawasan hutan tanah kerajaan di Kampung Perlak bersama pasukan dari Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran

"Semua lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) (Akta 313) Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.