Varian Delta punca lonjakan kes Covid-19 di selatan Thailand

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 9,727 kes baharu Covid-19 dan 73 kematian, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 1,821,579 dan 18,559 kematian. - Foto fail AP
Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 9,727 kes baharu Covid-19 dan 73 kematian, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 1,821,579 dan 18,559 kematian. - Foto fail AP
A
A
A

PATTANI - Varian Delta yang cepat merebak menjadi punca lonjakan kes Covid-19 di empat wilayah di selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla.

Ketua Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Pattani, Dr Anurak Sarapap (he) berkata, peningkatan varian Delta amat membimbangkan ekoran kebolehjangkitan yang tinggi.

“Varian Delta yang pertama kali dikesan di India dipercayai merebak di kalangan ahli keluarga dan komuniti dan menyebabkan kes Covid-19 dan jumlah kematian meningkat di empat wilayah itu.

“Kini, varian Delta menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jangkitan baharu kes Covid-19 di empat wilayah itu,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, varian paling dominan di wilayah selatan adalah Alpha dan Beta.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 9,727 kes baharu Covid-19 dan 73 kematian, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 1,821,579 dan 18,559 kematian.

Daripada jumlah kes baharu, Yala merekodkan 653 kes, Songkhla (627), Pattani (543) dan Narathiwat (374).

Dr Anurak berkata, Kementerian Kesihatan Awam Thailand sedang memperhebatkan vaksinasi di empat wilayah untuk mengekang penularan kes Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kementerian telah mengedarkan vaksin Pfizer-BioNTech ke empat wilayah pada bulan ini.

“Kami berharap dapat mencapai sasaran 70 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin Covid-19 pada akhir bulan ini,” katanya.

Untuk menggalakkan vaksinasi di kalangan penduduk tempatan, Dr Anurak berkata, pemimpin agama kini memainkan peranan mereka untuk memberikan kesedaran dan penerangan berhubung keberkesanan vaksin.

Beliau berharap penduduk tempatan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan di tempat awam dan tempat kerja dalam usaha menbendung penularan Covid-19.

Sementara itu, Dr Anurak berkata, pihak berkuasa tempatan kini menggalakkan pesakit Covid-19 yang mengalami gejala tidak serius atau tidak bergejala agar menjalani ‘pengasingan di rumah’ (home isolation) ataupun ‘pengasingan komuniti’ (community isolation) di peringkat mukim.

“Buat masa ini, katil merawat pesakit Covid-19 di hospital di empat wilayah selatan Thailand hampir penuh, maka, kerajaan tempatan menggalakkan pengasingan rumah atau komuniti,” katanya. - Bernama