X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

PN sedia hadapi pertembungan tiga penjuru di Melaka

Muhyiddin. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) masih tidak memberikan kata putus berkenaan kerjasama antara dua parti tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun PN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, namun parti itu tidak boleh boleh menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan.

Katanya, gabungan tersebut akan mengikut keputusan yang dibuat di peringkat pusat jika masih tiada isyarat jelas daripada parti lain.

“Persoalannya adalah adakah pihak sana bersedia (bekerjasama)? Kita tidak dapat jawapan tegas dan jelas. Masa begitu singkat dan juga sudah diumumkan tarikh penamaan calon, pemilihan dan pengundian.

“Sebagai sebuah parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), bagi saya ini penting dan kita tidak boleh lengah. Kalau tidak ada isyarat yang jelas kita akan ikut apa keputusan yang dibuat PN Kebangsaan," katanya ketika ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan negeri Melaka di sini, pada Khamis.

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan PRN Melaka pada November depan.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN berkata, keputusan rasmi itu akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diikuti BN yang akan diadakan pada minggu depan ataupun diputuskan sebelum hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) pada Isnin menetapkan tarikh penamaan calon akan diadakan pada 8 November depan.

Sementara itu, Muhyiddin menerusi ucapannya ketika majlis perjumpaan bersama kepemimpinan PN Melaka di Ayer Keroh berkata, PN bersedia untuk bertanding sendirian sekiranya UMNO dan BN masih tidak memberi sebarang petanda untuk bekerjasama.

“Masa sudah tak lama. Saya kira kalau pihak di sana (UMNO) setakat hari ini tidak ada menunjukkan apa-apa petanda untuk bekerjasama, berunding dan berbincang, saya hari ini boleh buat keputusan bahawa kita akan bertanding tiga penjuru dalam PRN Melaka," ujarnya.

Antara parti politik yang berada di bawah gabungan PN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

PRN Melaka dilaksanakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat selepas empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!