Bekas anggota polis kaut untung hasil peras ugut

Agus Salim (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam pada Rabu.
Agus Salim (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang bekas anggota polis berpangkat koperal mampu mengaut keuntungan bernilai RM6,700 dalam masa dua hari selepas menyamar sebagai anggota polis dengan memeras ugut peniaga sekitar daerah ini.

Suspek berusia 48 tahun itu dikesan melakukan kegiatan tersebut dengan memeras ugut mangsa kononnya mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek dikesan melakukan kegiatan itu bersama dengan empat lagi rakannya pada 14 dan 15 Oktober lalu.

"Kita menerima lima laporan polis yang dibuat peniaga di sekitar daerah ini mengenai jenayah peras ugut tersebut sehingga ada dalam kalangan mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Agus Salim berkata, dalam kejadian pertama, kumpulan suspek terbabit berjaya memeras ugut seorang peniaga kedai runcit di Pekan Batu 39 pada jam 2.30 petang pada 14 Oktober lalu.

Jelas beliau, suspek telah masuk ke dalam kedai sambil mengeluarkan gari kononnya sebagai anggota polis untuk mengugut mangsa.

"Dalam kejadian itu, suspek dan rakannya bertindak mengambil semua wang di dalam laci berjumlah RM1,500 dan kemudian beredar," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Pada keesokannya, suspek dan rakannya memeras ugut seorang lagi peniaga sebuah kedai di Parit Baru, Sungai Air Tawar pada jam 12.50 tengah hari itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM5,000 selepas kumpulan suspek meminta wang perlindungan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Agus Salim berkata, kumpulan suspek pada hari sama turut melakukan kegiatan itu di sebuah kedai di Bagan Nakhoda Omar dan kedai buah di Sungai Besar.

Bagaimanapun katanya, suspek gagal memeras ugut kedua-dua peniaga terbabit memandangkan mereka sempat menghubungi rakan sebelum kumpulan suspek bertindak keluar dari premis terbabit.

"Kali terakhir suspek melakukan kegiatan mereka di sebuah di Sungai Besar kira-kira jam 4 petang dan mangsa mendakwa mengalami kerugian RM200 selepas diperas ugut kumpulan terbabit," katanya.

Beliau memberitahu, kelicikan kumpulan terbabit akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan di hadapan sebuah bank di Sekinchan pada jam 8.30 malam selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

"Siasatan awal polis mendapati, bekas anggota polis terbabit kali terakhir berkhidmat di sebuah balai polis di Perak dan telah ditamatkan perkhidmatan pada tahun lalu.

"Kumpulan terbabit dikesan melakukan kegiatan itu dengan menaiki sebuah kereta Toyota Unser.

"Suspek turut mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kesemua mereka ditahan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," jelasnya.