Dr Suhaini Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2021

Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Datuk Dr Suhaini Kadiman menerima anugerah Tokoh Perdana pada Majlis Penganugerahan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan 1443H/2021M di Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Datuk Dr Suhaini Kadiman menerima anugerah Tokoh Perdana pada Majlis Penganugerahan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan 1443H/2021M di Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M kepada Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Datuk Dr Suhaini Kadiman.

Penganugerahan itu disampaikan kepada beliau yang juga Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN) di Istana Negara pada Rabu.

Dr Suhaini, 52, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ketika ditemui selepas majlis itu berkata, sebagai profesional perubatan, hasrat beliau adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Walaupun cabaran Covid-19 sejak kebelakangan ini begitu menguji kesabaran dan kesungguhan kami sebagai petugas barisan hadapan, namun dengan sokongan masyarakat dan semua pihak kita dapat atasi cabaran ini,” katanya yang berkhidmat selama 21 tahun di IJN.

Bagi aspek Papisma pula, Dr Suhaini berkata, selain menggerakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pertubuhan itu juga membantu Keluarga Malaysia dari sudut psikososial serta kesihatan mental dalam fasa pemulihan negara.

Selain beliau, enam individu dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan bekas Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datin Dr Paizah Ismail.

Turut menerima anugerah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH, Sarawak Alwi Morshidi.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul lain ialah Pengasas Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan; Pengasas dan Pengarah Pertubuhan Kebajikan Pondok Spiritual OKU Muslim (Pondoku), Mohd Zaini Mat Abas serta bekas penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Tawau Sabah, Mohd Amin Nasir.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad. - Bernama