Amanah sasar tanding sehingga 10 kerusi PRN Melaka

Asmuni
Asmuni
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan untuk bertanding lapan hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung bulan depan.

Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Datuk Asmuni Awi berkata, jumlah kali ini bertambah berbanding hanya enam kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurutnya, jentera pilihan raya Amanah akan digerakkan ke kawasan tumpuan yang ditandingi oleh parti itu pada PRN Melaka nanti.

"Kita telah buat persiapan awal dengan mengaktifkan jentera pilihan raya terutama di peringkat negeri dahulu.

"Saya sendiri telah turun ke Melaka sejurus pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka untuk melihat persiapan dan memberikan panduan kepada jentera pilihan raya peringkat negeri.

"Alhamdulillah, persiapan kami berada di 'top gear'. Insya-ALLAH selepas ini jentera operasi nasional akan turun ke Melaka untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Medan Selera Taman Meru di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata, seperti pilihan raya kecil yang lain, pada PRN kali ini jentera dari negeri-negeri juga akan dikerah untuk membantu kawasan-kawasan yang ditandingi Amanah.

Menurutnya, Amanah akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan PRN Melaka nanti bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai sama ada Amanah mahu menerima empat ADUN yang melompat menjadi bebas sehingga menyebabkan kerajaan Melaka tumbang, Asmuni berkata, perkara itu akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti.

Pada PRU14, Amanah menang dua kerusi DUN iaitu Durian Tunggal dan Bukit Katil daripada enam kerusi yang ditandingi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat wakil rakyat termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ini merupakan kali pertama sebuah negeri di Semenanjung Malaysia mengadakan PRN secara berasingan dan bukan pada pilihan raya umum.