Tunggang motosikal secara berbahaya, 4 lelaki termasuk pelajar ditahan

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar pada Rabu susulan tujuh individu menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson di sini seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial sejak petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah telah membuat tangkapan empat penunggang motosikal yang terlibat dalam rakaman tersebut.

"Kesemuanya berumur 17 hingga 18 tahun ditahan antara jam 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka.

"Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Aidi Sham berkata, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun.

"Usaha mengesan baki tiga orang penunggang yang dikenali sebagai 'Upa', 'Darwisy' dan 'Afiq' sedang dijalankan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban - Port Dickson di sini seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial sejak petang Ahad.

Menerusi satu paparan video, aksi kesemua penunggang motosikal itu dimuat naik ke Facebook mendedahkan seramai tujuh orang yang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Artikel Berkaitan: