Bersemukalah dengan antivaksin

No Image Caption
A
A
A

HANYA berbaki kurang tiga bulan sebelum kita meninggalkan tahun 2020 yang menjadi saksi bisu kejamnya pandemik Covid-19 terhadap kehidupan manusia.

Kematian insan tersayang, kehilangan pekerjaan dan kegelinciran ekonomi rakyat yang menyaksikan ramai terpaksa berusaha keras demi sesuap nasi merupakan antara episod duka yang meninggalkan trauma mendalam namun apakan daya, suka atau tidak, Covid-19 akan terus mendampingi kita.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, negara masih dalam fasa pendemik Covid-19 tetapi perlahan-lahan sedang mengorak langkah beralih ke fasa endemik.

“Endemik ini bermaksud penyakit ini masih wujud dalam sesuatu masyarakat tetapi kejadiannya adalah sangat rendah, kes tidak banyak, kemasukan ke ICU rendah dan jumlah mereka yang terkorban juga sangat rendah,” jelas beliau.

Pada 18 Oktober lalu, negara merekodkan sejumlah 5,434 kes Covid-19 sekali gus rekod yang terendah sejak 28 Jun lalu tetapi trend penurunan kurang daripada 10,000 kes itu bukan menandakan satu kemenangan mutlak.

Hal ini disebabkan sifat virus yang sentiasa bermutasi kepada varian baharu yang lebih licik. Dek kerana itu sebagai masyarakat bertanggungjawab, kita tidak sesekali boleh lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan virus pembunuh tersebut. Namun satu perkara yang lebih menakutkan daripada mutasi virus Covid-19 adalah kedegilan golongan antivaksin yang memilih untuk menolak vaksin tanpa sebab munasabah.

Lebih menjengkelkan, ada golongan antivaksin tanpa segan silu turut mempertikaikan mengapa mereka dinafikan hak untuk menikmati 'kebebasan' dan kelonggaran seperti mana golongan yang telah lengkap divaksin.

Situasi membabitkan golongan antivaksin ini mengundang Khairy untuk berkata, kerajaan akan 'menyusahkan' hidup golongan yang memilih untuk tidak menerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.

"Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. Bagaimanapun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda," tegas Khairy.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menegaskan, walaupun suntikan vaksin tidak diwajibkan buat masa ini namun sebagai manusia, harus ada rasa tanggungjawab membantu melindungi orang lain, mengurangkan risiko jangkitan dan mengurangkan keseriusan kesan penyakit jika dijangkiti dengan mengambil vaksin Covid-19.

Mutakhir, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi penerangan berhubung vaksin Covid-19 berdasarkan kajian klinikal sahih. Menariknya, 'drama' antivaksin ini bukan sahaja berlaku di Malaysia yang telah mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap dos suntikan vaksin Covid-19 malah ia turut berlaku di luar negara.

Menurut artikel portal healthline.com, isu penolakan vaksinasi bukan satu perkara baharu dan ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.

Di Amerika Syarikat misalnya, ramai menolak vaksin kerana berpendapat risiko adalah melebihi faedah. Dapat dilihat, kebanyakan ibu bapa di negara Uncle Sam itu memperkatakan tentang risiko kesihatan termasuk autisme sebagai antara akibat yang bakal diterima sekiranya mendapatkan vaksinasi.

Tidak kurang juga yang beralasan, skeptikal terhadap sains (yang tidak mereka fahami) dan tidak percayakan kerajaan. Mereka berpendapat, syarikat farmaseutikal dan saintis hanya mahu menjual produk tanpa mengendahkan kesan memudaratkan terhadap pengguna.

Apa pun alasan golongan antivaksin yang enggan menerima suntikan Covid-19, janganlah terus berdegil dan elaklah sampai ke tahap ada pemimpin negara kita yang mengeluarkan usul luar kotak seperti Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang mahu golongan antivaksin disuntik ketika tidur.

* Liza Mokhtar ialah wartawan Premium Sinar Harian