PRN Melaka: UMNO belum muktamad kerjasama dengan parti lain

Ahmad Zahid (tiga,kanan) ketika sidang akhbar selepas pelancaran jentera PRN UMNO di D'Acqua di Kampung Pulau di sini, pada Selasa.
Ahmad Zahid (tiga,kanan) ketika sidang akhbar selepas pelancaran jentera PRN UMNO di D'Acqua di Kampung Pulau di sini, pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan rasmi itu akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertiggi (MKT) UMNO diikuti Mesyuarat Tertiggi Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan pada minggu depan ataupun diputuskan sebelum hari penamaan calon.

Beliau berkata, sebelum sebarang keputusan kerjasama itu dicapai, diharapkan penganalisis politik tidak meramalkan berhubung pendirian UMNO dalam PRN Melaka.

"UMNO dan BN mungkin ditanya siapakah rakan politik kami untuk menghadapi PRN Melaka.

"Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak masih belum diputuskan secara rasminya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas pelancaran jentera PRN UMNO di D'Acqua di Kampung Pulau di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid mengakui, parti keramat itu turut didatangi pelbagai pihak yang mahu menawarkan kerjasama untuk menghadapi PRN Melaka yang disifatkan bakal menyaksikan suatu lanskap baharu yang dilakarkan berdasarkan situasi politik semasa.

Artikel Berkaitan:

"Kami berlapang dada dan berfikiran terbuka kepada siapa sahaja yang mahu memberikan pandangan.

"Kami terima, namun segala keputusan kami putuskan secara kolektif apabila tiba masanya," katanya.

Ditanya mengenai calon, Ahli Parlimen Bangan Datuk itu berkata, setakat ini pihaknya akan memberikan tumpuan kepada calon-calon yang berkebolehan untuk menang dengan mengenal pasti beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan sains dan data termasuk melalui perangkaan yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurutnya, senarai calon juga akan dimuktamadkan serta diputuskan sebelum hari penamaan calon dan parti itu berpegang kepada perlembagaan UMNO di mana calon-calon pilihan raya akan dibincangkan di peringkat bahagian.

"Biarpun kita mengenal pasti kawasan fokus, namun tentunya kita berpegang kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan UMNO.

"Di peringkat bahagian, kemudian dikemukakan kepada pimpinan atasan untuk menandatangani watikah, namun keputusan muktamad akan diputuskan sebelum hari penamaan calon," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua kerusi yang akan ditandingi BN mahupun UMNO dianggap sebagai kerusi panas dan jentera UMNO perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Seluruh jentera UMNO Melaka telah digerakkan dan dilancarkan pada hari ini.

"Kita akan menempatkan jentera daripada negeri-negeri lain juga untuk berada di setiap DUN yang ditandingi UMNO dan BN," ujarnya.