X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

KPWKM guna pakai had PGK Makanan RM1,169 bagi penerima bantuan

Rina (kanan) menyampaikan surat kelulusan bantuan kanak-kanak berjumlah RM300 sebulan kepada penerima bantuan Narriman Husin, 56, (tengah) ketika melakukan lawatan ke rumah beliau di Jalan Cheng Lama, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengguna pakai had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan pada kadar RM1,169 bagi penyaluran bantuan membabitkan golongan miskin tegar yang masih tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata KPWKM sebelum ini mengguna pakai had PGK purata pendapatan isi rumah sebanyak RM980 sebelum meningkatkannya kepada RM1,169 berdasarkan kajian dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019.

"Setakat ini, kita kekal menggunakan had PGK Makanan itu,” katanya kepada pemberita selepas program penyampaian surat tawaran bantuan kebajikan kepada klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Cheng di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM Fatimah Zuraidah Salleh yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JKM dan Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik.

Rina berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan beberapa pihak terutama pemohon bantuan berhubung penggunaan had PGK bagi melayakkan mereka mendapatkan bantuan di bawah KPWKM.

Dalam pada itu, Rina berkata, JKM Melaka telah menyalurkan bantuan hampir RM94 juta kepada 24,838 penerima di Melaka dalam tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding RM90.27 juta melibatkan 24,913 penerima pada tahun lepas.

"Bantuan yang disalurkan melibatkan Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU), Elaun OKU Tidak Berupaya Bekerja, Bantuan Am Negeri, Geran Pelancaran dan bantuan alat tiruan atau sokongan.

"Selain bantuan kewangan dan psikososial, kita juga melihat keperluan lain yang diperlukan seperti membantu anak penerima mendapatkan pekerjaan menerusi kerjasama antara kementerian dan agensi lain," katanya.

Menurut beliau, golongan OKU disaran segera berdaftar di bawah JKM bagi membolehkan mereka mendapat kad OKU sekali gus menerima 32 faedah yang disediakan kerajaan bagi membantu dan meringankan beban mereka. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!