PH minta kerajaan tetapkan kriteria jelas dos penggalak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menetapkan kriteria dan strategi implementasi jelas bagi memastikan kelancaran apabila 8.75 juta rakyat Malaysia dijangka menerima dos ketiga vaksin Covid-19 atau dos penggalak.

Menurut mereka, program pelancaran haruslah dipelan dengan teratur, spesifik dan dikoordinasi dengan baik dalam kalangan semua terlibat termasuk pengamal am swasta yang ditugaskan untuk mengendalikan suntikan penggalak bagi semua petugas barisan hadapan dan warga emas.

“Namun begitu, kita harus berhati-hati dengan kenyataan rasmi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) yang menyatakan bahawa belum terdapat penglibatan betul daripada Jabatan Kesihatan Negeri yang masih sepi dalam program dos ketiga dan suntikan penggalak ini.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita harus mempelajari daripada kesilapan lepas termasuk penglibatan pengamal am swasta pada minit-minit terakhir,” kata jawatankuasa tersebut menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Lumut), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Alice Lau (Lanang).

Turut menganggotai jawatankuasa tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin; Exco Kerajaan Negeri Sembilan, S Veerapan; Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zaliha Mustafa.

Dalam kenyataan sama, jawatankuasa itu turut menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan strategi mereka.

Menurut mereka, strategi berkenaan termasuk jangka masa jelas implementasi ke seluruh negara, definisi dan kategori jelas kelayakan untuk dos ketiga dan suntikan penggalak, serta strategi usaha mendidik kepentingan dos tambahan kepada semua yang layak serta memastikan tiada ketinggalan dalam program pelancaran terbabit.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kata mereka, KKM perlu menjelaskan penglibatan pengamal am di peringkat awal dan menyediakan strategi pelancaran jelas untuk memastikan program pelan dos ketiga dan vaksin penggalak pantas dan efisien.

“Juga meluluskan vaksin heterologi dengan dos penggalak secepat mungkin berdasarkan kepada data global yang nyata,” kata mereka.

Jawatankuasa itu turut berpendirian bahawa KKM dan Agensi Pengawal Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) harus meluluskan segera suntikan vaksin heterologi dengan dos penggalak.

Menurut mereka, usaha-usaha klinikal menunjukkan keputusan yang meyakinkan termasuk kajian dijalankan di Jerman, Sepanyol, Taiwan, Sweden dan United Kingdom dalam ‘Kesan dari Imunisasi Heterologi dengan Penggalak Utama Vaksin Covid-19 terhadap SARS-Cov-2’.

“Mereka menunjukkan keputusan-keputusan yang positif termasuk tahap netralisasi antibodi bertambah dibandingkan dengan vaksin homologi.

“Rejimen penggalak utama heterologi dengan vektor adenovirus juga penambahbaikan respons-respons ‘Th1-biased T cell’,” ujar mereka.