X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Anak terlupa kod selepas pasang kunci basikal di leher ibu

Seorang wanita di Beijing, China terpaksa mendapatkan bantuan polis selepas kunci basikal yang dikalungkan di lehernya tidak dapat dibuka. - Foto Odditycentral
A
A

ANAK pasang kunci basikal di leher ibunya, kemudian terlupa kod.

Seorang ibu terpaksa minta bantuan polis untuk membukanya.

Alahailah anak, menguji sungguh perangai! Mujurlah tidak berbahaya, jika tidak menyesal tak sudah.

Kasihan sungguh ibunya yang pada mulanya menganggap anaknya sekadar berjenaka.

Seorang wanita di Beijing, China terpaksa mendapatkan bantuan polis selepas kunci basikal yang dikalungkan di lehernya tidak dapat dibuka.

Kejadian 7 Oktober lalu berlaku apabila anak wanita itu berusia empat tahun meletakkan kunci basikal itu pada leher ibunya serta terlupa kod kunci untuk membuka semula.

Akibatnya, wanita itu mendapatkan bantuan polis di balai polis Huai’an di Jiangsu dalam keadaan panik dengan kunci basikal itu masih pada leher.

Wanita itu memberitahu pegawai polis, anak lelakinya bermain dengan kunci basikal itu ketika dia mencuci tandas.

Kanak-kanak itu kemudian meletakkan kunci itu pada leher ibunya.

Pada mulanya, wanita itu menganggap perbuatan anaknya sekadar jenaka, apatah lagi dia mengetahui kod membuka kunci basikal berkenaan.

Namun, dia panik apabila menyedari kod asal tidak boleh digunakan kerana anaknya menukar kod tersebut.

“Saya tidak boleh buka kunci basikal itu dengan kod yang saya tetapkan.

“Saya tak tahu berapa kali dia tukar kod itu, jadi saya pun panik,” katanya kepada polis yang dipetik portal Oditty Central.

Polis memeriksa kunci basikal itu, tetapi tidak dapat membantu wanita itu sebelum memanggil pasukan bomba.

Pasukan bomba meletakkan tuala kecil di antara leher dan kunci basikal itu untuk membolehkan mereka memotong kunci berkenaan.

Wanita itu menarik nafas lega selepas pasukan bomba memotong kunci itu.

Dia juga sempat memberitahu bahawa sudah menghukum anaknya kerana berkelakuan nakal. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!