X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Dana RM63.32 juta untuk Program Kebuniti

Ronald (tiga dari kanan) ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih yang diadakan di Dewan Kampung Bauto, Telupid, Sabah.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan setakat ini telah memperuntukkan sebanyak RM63.32 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menjayakan Program Kebun Komuniti (Kebuniti) di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sejumlah RM28.82 juta telah diperuntukkan bagi program tersebut bermula sejak 2014 hingga 2020.

Katanya, peruntukan itu meliputi RM10 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) 2020 yang telah memberi manfaat kepada 165,207 orang di seluruh negara.

“Susulan daripada sambutan menggalakkan daripada masyarakat telah mendorong kerajaan untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak 30 juta ringgit pada tahun 2021 selain peruntukan tahunan sebanyak RM4.5 juta yang telah memberi manfaat kepada 39,608 orang melibatkan 25,775 lokasi seluruh Malaysia,” katanya.

Ronald berkata, Program Kebuniti itu memberi manfaat dari aspek ekonomi, sosial dan persekitaran setempat selain menjana peluang pekerjaan serta menyokong kepada keperluan makanan penduduk bandar dan luar bandar.

Ronald (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto, Telupid yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ronald (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto, Telupid yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pada Sabtu, beliau bersama Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) telah menyalurkan beberapa insentif dalam Program Kebuniti dan Program Pertanian Organik melalui Program Sentuhan Kasih yang diadakan di Dewan Kampung Bauto, Telupid, Sabah.

Seramai 300 peserta daripada pelbagai kampung di Telupid, Sugut dan Labuk akan menyertai Program Kebuniti itu dengan menggunakan kaedah penanaman secara konvensional melalui insentif pertanian seperti pasu panjang (planter box), peralatan kecil, baja dan benih tanaman.

Pada masa sama, Ronald turut berkesempatan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto, Telupid yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif MAFI Prihatin itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) dan Persatuan Buah-buahan Negeri Sabah melalui sumbangan 250 kotak bantuan makanan berupa bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung dan sebagainya kepada golongan sasar.

Dalam kenyataan sama, Ronald turut memaklumkan MAFI telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan Program Pertanian Organik yang baru diperkenalkan tahun ini pada bagi tujuan meningkatkan hasil pertanian ke arah makanan selamat dimakan dan mesra alam.

Ronald (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto, Telupid yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ronald (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto, Telupid yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, peruntukan tersebut telah disalurkan kepada pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI seperti Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan (DOF) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“DOA telah menerima peruntukan berjumlah RM10 juta dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM500,000 telah disalurkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Sabah pada 10 Mei 2021.

“Sebanyak 27 komuniti di daerah Beluran, Sabah melibatkan seramai 83 orang peserta dengan keluasan seluas 33 hektar telah menerima manfaat daripada Program Pertanian Organik,” ujarnya.

Ronald berkata, MAFI sentiasa berusaha meningkatkan pengeluaran makanan secara domestik dan memberi nilai tambah dalam kehidupan rakyat melalui aktiviti pertanian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!