X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Boleh mohon dos penggalak untuk kerjakan umrah: Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika hadir pada majlis perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di Grand Nexus pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Individu yang memerlukan dos penggalak bagi memenuhi syarat ditetapkan negara tertentu untuk memasuki negara berkenaan, termasuk melakukan umrah, boleh membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera, dan dos ini dijangka akan diberikan bermula bulan ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sedang berusaha dan berbincang dengan negara-negara berkenaan agar tidak ada amalan diskriminasi vaksin.

"(Contohnya) Tidak perlulah pengunjung dari Malaysia mengambil vaksin sekali lagi untuk ke UK (United Kingdom) tanpa kuarantin.. anggaplah semua vaksin, sekurang-kurangnya yang disenarai sebagai penggunaan di masa kecemasan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sama.

"Macam UK, mereka sedang menimbangkan permohonan kita, diharapkan mereka akan bersetuju, dan sama juga dengan Arab Saudi...tapi apa pun kita akan berikan dos penggalak itu, namun penyelesaian yang mudah dan lebih baik adalah agar tiada diskriminasi dari segi jenama vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas merasmikan program 11th National Acute Myocardial Infarction Course anjuran Hospital Selayang di sini pada Sabtu.

Sementara itu Khairy berkata, beliau akan berusaha mewajibkan beberapa bangunan tertentu dilengkapi dengan alat defibrilator luaran automatik (AED).

Katanya, beliau akan berbincang dengan kementerian yang berkaitan, serta kerajaan negeri dan kerajaan tempatan mengenai perkara itu kerana ia melibatkan pindaan kepada undang-undang kecil, dan menurutnya beliau juga akan membawa perkara itu ke kabinet nanti.

Tanpa menyatakan tempoh waktu yang disasarkan, katanya ia akan dimulakan di bangunan kerajaan terlebih dahulu, sebelum diikuti bangunan-bangunan lain.

"AED perlu dipamerkan (di bangunan) dan kita perlu melatih seramai mungkin, mereka yang berkebolehan untuk menjadi pihak pertama merawat kes serangan jantung secara tiba-tiba di tempat kejadian, kerana ketika ini kita lihat banyak individu yang terkena serangan jantung tidak dapat diselamatkan kerana tidak sempat dibawa ke hospital,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!