Bakal calon Presiden Singapura boleh mohon Sijil Kelayakan

Shanmugaratnam menjadi satu-satunya individu yang mengumumkan hasratnya untuk bertanding Pilihan Raya Presiden Singapura. - Foto: Agensi
Shanmugaratnam menjadi satu-satunya individu yang mengumumkan hasratnya untuk bertanding Pilihan Raya Presiden Singapura. - Foto: Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Calon berpotensi yang mahu bertanding Pilihan Raya Presiden Singapura (PE) bakal memohon Sijil Kelayakan bermula Selasa di bawah langkah pertama untuk merebut jawatan tertinggi itu.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Isnin memaklumkan permohonan Sijil Kelayakan dan penyerahan akuan komuniti akan ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.

Sijil Kelayakan bertujuan untuk memperakui bahawa calon adalah seorang yang berintegriti, berkelakuan dan mempunyai reputasi yang baik serta memenuhi keperluan perkhidmatan sektor awam dan swasta berkaitan.

Syarat yang ditetapkan adalah bakal calon mesti memegang jawatan kanan awam atau menerajui syarikat dan memiliki ekuiti pemegang saham berjumlah kira-kira S$500 juta (RM1.7 bilion) untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

Selain itu, bakal calon juga haruslah warga Singapura dan berusia sekurang-kurangnya 45 tahun pada hari penamaan calon dan tidak menganggotai mana-mana parti politik.

ELD menjelaskan PE bakal diadakan pada bila-bila masa memandangkan penggal perkhidmatan Presiden Halimah Yacob akan berakhir pada 13 September depan.

Difahamkan, Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam menjadi satu-satunya individu yang mengumumkan hasrat untuk bertanding, namun pemerhati berpendapat pengasas Harvey Norma Ossia, George Goh berpotensi menjadi pencabar. - Agensi