X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Skuad B-23 Scotland atasi anak buah Wallace

Skuad muda hoki lelaki negara gagal meraih kemenangan pada aksi terakhir Siri Jelajah United Kingdom 2021 selepas tewas 0-1 kepada pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Scotland.. - Foto FB Konfederasi Hoki Malaysia
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad muda hoki lelaki negara gagal meraih kemenangan pada aksi terakhir Siri Jelajah United Kingdom 2021 selepas tewas 0-1 kepada pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Scotland di Kelab Hoki dan Kriket Clydesdale, Glasgow, awal pagi Sabtu.

Ia menyaksikan Scotland mencatat kejayaan sulung ke atas Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Wallace Tan dalam siri jelajah itu selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di venue sama pada Jumaat.

Meskipun menutup siri jelajah dengan keputusan yang tidak diingini, Wallace berkata, anak buahnya telah memberikan aksi terbaik dan dapat mempelajari beberapa perkara positif daripada perlawanan tersebut.

“Saya boleh berasa gembira dengan perkembangan yang baik daripada pemain-pemain tetapi masih ada perkara yang perlu dipelajari mereka,” katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Secara keseluruhan skuad muda negara dibarisi pemain Bawah 21 Tahun (B-21) merekodkan dua kemenangan dan satu seri dalam lapan perlawanan sepanjang siri jelajah itu yang bermula 3 Oktober lalu.

Skuad bimbingan Wallace gagal mencatat kemenangan pada empat aksi pertama selepas tewas kepada Repton HC 0-2, B-21 England (2-3), B-21 England (0-2) dan Hampstead & Westminster H.C (1-3).

Namun, bangkit mencipta kejayaan pada aksi kelima dan keenam apabila menundukkan skuad B-23 Wales 2-1 serta B-21 England 5-4 sebelum seri dan tewas pada kedua-dua aksi menentang Scotland.

Selain mengakui skuad bimbingannya mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan di United Kingdom, Wallace berkata, siri jelajah itu juga memberi ruang dan peluang kepada barisan pemain muda negara mendapatkan semula suasana perlawanan berintensiti tinggi.

“Pasukan tidak dapat bermain perlawanan kompetitif dalam dua tahun. Jadi siri jelajah ini sesuatu yang cukup baik untuk pasukan. Banyak yang telah kami pelajari selain dapat bermain sebagai satu pasukan, membina semangat pasukan dan belajar untuk memperbaiki apa yang perlu,” katanya.

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan itu dijangka tiba di tanah air dari United Kingdom pada Ahad dan akan menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India pada November depan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!