Pantai Kampung Tok Jembal bagaikan pesta

Suasana di Pantai Kampung Tok Jembal bagaikan 'pesta' apabila jumlah hasil tangkapan nelayan.
Suasana di Pantai Kampung Tok Jembal bagaikan 'pesta' apabila jumlah hasil tangkapan nelayan.
A
A
A

KUALA NERUS - Pantai Kampung Tok Jembal tiba-tiba luar biasa meriahnya apabila gerai sederet menjual pelbagai spesies ikan segar dipenuhi orang ramai.

Suasana bagaikan 'pesta' itu apabila jumlah hasil tangkapan nelayan pantai di kawasan itu meningkat sejak seminggu lalu susulan perubahan keadaan cuaca dan laut yang semakin baik.

Tinjauan pada pagi ini mendapati nelayan mampu meraih pendapatan lumayan apabila hasil pendaratan ikan pelbagai jenis antaranya kembung, parang, kerisi termasuk ketam meningkat.

Kebiasaannya nelayan khususnya pesisir pantai dapat meningkatkan hasil pendapatan kerana jumlah ikan yang 'bermain' di kawasan persisiran pantai kini semakin banyak di kawasan berkenaan.

Bagi Awang Alwi, 46, yang merupakan nelayan sepenuh masa dari Pengkalan Maras berkata, beliau memperoleh antara 180 hingga 200 kilogram hidupan laut itu ketika turun ke laut minggu lalu.

"Tapi dalam minggu ini, baharu dua hari turun ke laut, ikan kurang sedikit dan tangkapan ikan banyak diperoleh minggu ini ialah ikan kembung," katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal di sini.

Awang dan rakan memperolehi hasil tangkapan lumayan sejak minggu lalu.
Awang dan rakan memperolehi hasil tangkapan lumayan sejak minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pembeli, Abdul Rahman Ali, 51, dari Gong Badak berkata, beliau kerap ke pusat jualan ikan segar di pantai berkenaan untuk membeli pelbagai jenis ikan segar pada waktu pagi.

Menurutnya, ikan bukan sahaja segar tetapi harganya jauh lebih murah berbanding di pasar awam dan lebih seronok apabila ada jenis ikan yang jarang dilihat dijual pada harga RM1 seekor sahaja.

Suasana di pantai berkenaan bertambah meriah pada musim cuti persekolahan, dengan kehadiran kumpulan remaja atau pelajar membantu ibu bapa mereka keluar ke laut dan menjual hasil tangkapan.

Peraih ikan turut kelihatan menunggu di pantai untuk memborong ikan segar dari nelayan dan suasana ini boleh dilihat sekitar jam 10 hingga 11 pagi setiap hari kecuali pada hari Jumaat.