X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Piala Thomas: Malaysia, Indonesia berentap suku akhir

Choong Hann
A
A

MALAYSIA berpeluang menebus kekalahan kepada Indonesia selepas kedua-dua pasukan itu diundi sekali lagi bertemu pada saingan suku akhir Piala Thomas di sini pada 7.30 malam esok.

Malaysia, yang muncul naib juara Kumpulan D selepas tewas 4-1 kepada Jepun di Arena Ceres di sini hari ini, tewas 3-1 kepada Indonesia pada peringkat sama pada edisi 2018 di Bangkok.

Indonesia, yang muncul juara Kumpulan A, telah memenangi piala berprestij itu untuk rekod sebanyak 13 kali manakala Malaysia lima kali dengan kali terkahir pada tahun 1992 di Kuala Lumpur.

Selain Malaysia dan Jepun, saingan suku akhir lain esok, menyaksikan Korea Selatan menentang Jepun, Thailand berdepan dengan juara bertahan China manakala Denmark bertemu India.

Seandainya, skuad muda negara mengatasi Indonesia, maka mereka bakal berdepan dengan Denmark atau India pada saingan separuh akhir.

Mengulas undian tersebut, Pengarah Kejurulatihan Persatuan badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berharap anak buahnya dapat bangkit semula esok selepas tewas kepada Jepun.

"Saya rasa kita kena terima kekalahan kepada Jepun hari ini kerana memang itu pasukan pilihan. Saya percaya pemain kita akan bangkit semua daripada kekalahan ini apabila bertemu Indonesia esok.

"Semua pasukan sama handal...jadi tidak kisah siapa yang kita akan jumpa. Oleh itu, kita harus merangka strategi dan menunjukkan keupayaan kita untuk menggalas tugas yang mencabar ini...itu penting.

"Panel jurulatih akan berbincang dan cuba merangka strategi yang betul untuk pertarungan esok,” katanya.

Dalam perlawanan dengan Jepun, Leong Jun Hao, yang menghuni ranking ke-120 dunia, melakukan kejutan dalam penampilan sulung dalam kempen kali ini, apabila menewaskan pemain nombor 16 dunia, Kenta Hishimoto, 21-19, 21-18 pada acara perseorangan ketiga negara.

Saingan bermula dengan pemain nombor satu dunia, Kento Momota terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Lee Zii Jia 15-21, 21-12, 23-21 pada pertarungan selama 80 minit untuk memberi mata pertama kepada Jepun.

Kejayaan itu melanjutkan rekod kemenangan Momota itu kepada lapan daripada 10 pertemuan dengan Zii Jia dengan dua kekalahan itu masing-masing pada suku akhir Seluruh England Mac lalu dan separuh akhir Piala Sudirman di Finland, dua minggu lalu.

Malaysia kemudian mengalami satu lagi tamparan apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan beregu nombor lapan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas 13-21, 13-21 kepada gandingan nombor 16 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam masa 37 minit.

Jepun kemudian mengutip mata kemenangan menerusi acara perseorangan kedua apabila pemain nombor 13 dunia, Kanta Tsuneyama menewaskan wakil negara, Cheam June Wei 22-20, 21-13, yang juga pemain ranking ke-70 dunia, dalam masa 49 minit.

Malaysia sekali lagi gagal memperoleh mata apabila gandingan baharu Akira Koga-Yuta Watanabe menghadiahkan mata keempat kepada Jepun dengan menyingkirkan beregu kedua negara Nurr Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei 21-10, 21-16.

Bagaimanapun, sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan itu sudah mengesahkan slot suku akhir.

Dalam saingan kumpulan, Malaysia dan Jepun masing-masing menewaskan Kanada 5-0 dan 4-1.

England, yang diundi dalam kumpulan itu, bagaimanapun menarik diri sebelum kejohanan bermula. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!