Sabah benarkan solat Jumaat, fardu dengan kapasiti 50 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dengan bilangan jemaah 50 peratus daripada kapasiti masjid atau surau bermula Jumaat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkaitan aktiviti masjid dan surau diadakan pada Rabu itu turut menetapkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan satu meter.

“Individu lengkap divaksin adalah diutamakan,” kata Masidi yang juga jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah dalam kenyataan, malam Khamis.

Masidi berkata, aktiviti masjid dan surau seperti kuliah Maghrib, kuliah duha, kelas agama dan seumpamanya turut dibenarkan mengikut bilangan kapasiti ditetapkan manakala majlis akad nikah pula dibenar diadakan di dewan atau ruang khas masjid.

“Pengurusan jenazah dan ziarah kubur dibenarkan mengikut bilangan tidak lebih 30 orang. Umat Islam juga dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa bagi memutuskan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 691 kes baharu direkodkan di Sabah pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif 208,197 kes, dengan 15 kematian dilaporkan.

Sebanyak 656 pesakit sembuh dan dibenar keluar dari hospital mahupun Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 195,674 orang, manakala 2,389 pesakit masih menjalani rawatan, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: