Angkara cemburu, pesara tentera maut ditikam

Gambar kecil: Mior Faridalathrash
Gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Seorang pesara tentera ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman di badannya di kawasan semak di Bukit Sumpitan dekat Selama pada Selasa.

Mangsa berusia 42 tahun itu dipercayai dilarikan secara paksa oleh dua lelaki yang dikenalinya kira-kira jam 3 petang di Taman Ngah Ibrahim, Taiping pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah menerima laporan mangsa dilarikan secara paksa pada Isnin kira-kira jam 4 pagi di Balai Polis Kuala Sepetang.

Menurutnya, mangsa dilarikan oleh suspek yang bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera pada hari kejadian.

"Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah melakukan tangkapan terhadap dua suspek terlibat di dua lokasi berasingan.

"Suspek pertama merupakan seorang tentera berusia 34 tahun diberkas di Perlis manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang bekerja sendiri ditahan di Taiping," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai daripada masalah cemburu salah seorang suspek yang menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

"Hasil soal siasat, kedua-dua suspek telah membawa polis ke sebuah kawasan di Selama dan menunjukkan lokasi mangsa telah dibunuh.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat lima kesan tikaman pada bahagian belakang dan empat lagi kesan di bahagian depan tubuh badan dipercayai menggunakan senjata tajam," katanya.

Jelasnya, mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah di daerah Taiping dan Seksyen 302 kanun sama iaitu pembunuhan di daerah Selama.

"Kertas siasatan yang lengkap akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya," katanya.