Tiga lelaki gaduh di restoran didakwa di mahkamah

Tangkap layar insiden pergaduhan dipercayai berlaku di sebuah premis di Jalan Changkat Bukit Bintang pada Isnin.
Tangkap layar insiden pergaduhan dipercayai berlaku di sebuah premis di Jalan Changkat Bukit Bintang pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki yang tular dalam video pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Changkat, Bukit Bintang Isnin lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

R Satyananthan, 52, yang merupakan warga tempatan didenda RM500 selepas mengaku bersalah manakala dua lagi individu warga Ukraine, Symonenko Pavlo, 38, dan Peleshok Denys, 32, mengaku tidak bersalah.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas didakwa melakukan pergaduhan dan kekecohan di sebuah restoran di Changkat Bukit Bintang di sini jam 5.50 petang pada 10 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala Symonenko dan Peleshok diwakili peguam, P Rajsurian sementara peguam Revin Kumar bagi pihak Satyananthan.

Mahkamah membenarkan Symonenko dan Peleshok diikat jamin masing-masing RM1,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Tarikh sebutan semula kes bagi kedua- dua tertuduh ditetapkan 26 November depan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lelaki dipercayai terlibat kes gaduh direman

Pada 12 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah premis di Jalan Changkat Bukit Bintang direman selama dua hari untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, insiden berkenaan tular menerusi dua video berdurasi 37 saat dan 27 saat yang dimuat naik di laman sosial Twitter.

Artikel Berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/166407/BERITA/Semasa/Tiga-lelaki-dipercayai-terlibat-kes-gaduh-direman