Formula usahawan PKS kembangkan perniagaan

Rafe Haneef
Rafe Haneef
A
A
A
PEMILIK perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang ingin mengembangkan perniagaan mereka bolehlah melawat gerai pameran CIMB di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Rafe Haneef berkata, bank mempunyai formula untuk usahawan PKS yang ingin meluaskan dan merancang untuk mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara.

PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan industri itu menyumbang sebanyak masing-masing 37 peratus dan 17 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pasaran eksport, justeru adalah penting untuk bank-bank membantu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk usahawan berkembang pesat, katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Rafe berkata, terdapat permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan halal di seluruh dunia, yang mana permintaan melebihi bekalan dengan margin yang besar.

Jurang ini mewujudkan peluang perniagaan di negara-negara seperti Jepun, Korea, China dan Taiwan serta China merupakan pemain utama dalam ekonomi halal, dengan jumlah dagangan kira-kira US$1 trilion dan dijangka terus berkembang dalam lima tahun akan datang, tambahnya.

“Saya fikir ia merupakan perkara menarik dan akhirnya PKS akan dapat menjual produk mereka ke pasaran yang lebih besar kerana permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal terus berkembang.

“Malaysia juga boleh menjadi pintu masuk untuk membuka peluang global ini bermula dengan rantau ASEAN,” katanya.

Pada September, CIMB melancarkan Koridor Halal ASEAN-China yang bertujuan mewujudkan ekosistem jaringan perdagangan halal dalam kalangan negara ASEAN dengan China.

Rafe berkata Bank Negara Malaysia menetapkan aspirasi untuk bank Islam Malaysia untuk memperoleh 40 peratus daripada perniagaan perbankan serantau menjelang 2020 dan menerusi Koridor itu, CIMB Islamic berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran itu.
Artikel Berkaitan:


Di samping itu, syarikat itu juga menyertai platform perdagangan global yang dikenali sebagai Trade Clubs Alliance, terdiri daripada bank antarabangsa dan serantau yang meliputi 44 negara dengan pangkalan data lebih 13,000 pelanggan.

“Jadi, sekiranya anda mencari sebarang produk, bahan mentah, apa-apa penyelesaian, kelab perdagangan ini boleh memadankan anda dengan pihak, pembeli dan pembekal berkaitan. Kami merancang untuk menganjurkan acara di negara-negara berkenaan supaya kami dapat memadankan pembekal dengan pengimport atau pembeli,” katanya.

CIMB Islamic juga ingin memberi tumpuan kepada beberapa segmen perniagaan halal yang dianggap kritikal untuk Malaysia.

Rafe berkata, segmen itu ialah makanan dan minuman (F&B) serta produk pertanian utama.

“Kami berada di MAHA kerana ia pautan terbaik untuk produk berasaskan pertanian dan F&B, dan menerusi MAHA, pembekal juga boleh berhubung dengan pembeli tempatan menerusi inisiatif koridor halal CIMB serta menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh,” katanya. - Bernama