Ah long tawar kerja kepada peminjam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan aktiviti penawaran kerja oleh ah long kepada peminjam yang dipercayai berlaku di Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak dua kes melibatkan aktiviti tersebut yang telah dikesan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati penawaran ini berlaku dalam dua keadaan.

"Antaranya bagi individu yang pinjaman mereka tidak diluluskan oleh ah long, mereka ditawarkan bekerja sebagai penyimbah cat atau penghantar notis ugutan dan diberikan upah atas kerja yang dijalankan.

"Bagi peminjam yang gagal melunaskan pembayaran, mereka akan diminta bekerja dengan ah long dan jumlah hutang akan ditolak berdasarkan kerja yang diselesaikan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, tindakan bersekongkol dengan ah long sama ada secara rela hati atau paksaan untuk melakukan gangguan atau khianat boleh diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

"Antaranya, mereka yang terlibat boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951(Akta 400) bagi menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi kesalahan mendatangkan gangguan kepada pihak peminjam.

"Untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memberi ancaman atau ugutan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dengan api atau benda letupan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, orang ramai diingatkan agar tidak membuat pinjaman dengan mana-mana institusi pinjaman tidak berlesen.

"Orang ramai turut diingatkan agar tidak terlibat sebagai pekerja atau membantu ah long untuk membuat gangguan khianat walaupun secara paksaan kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah," katanya.