Sabah benar rentas daerah bermula esok, rentas negeri 1 November

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah pada Rabu memutuskan untuk membenarkan rentas daerah bermula Khamis.

Bagaimanapun, bagi perjalanan rentas negeri hanya dibenarkan pada 1 November depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap Sabah setakat 11 Oktober lalu oleh Jawatankuasa Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) yang telah melebihi 70 peratus.

"Syaratnya ialah individu lengkap divaksin, remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos dan kanak-kanak di bawah 12 tahun ditemani ibu bapa yang telah lengkap vaksin," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan rentas negeri dan kemasukan ke Sabah membabitkan lawatan sosial dan pelancongan dengan bersyarat.

"Individu telah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian Covid-19 RT-PCR atau RTK-Ag (Swab/Saliva) dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

"Remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kanak-kanak di bawah 12 tahun ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin," katanya.

Sabah sebelum ini berada dalam kawalan pergerakan perjalanan mengikut zon atau sistem zon dan kawalan rentas daerah bagi yang tidak dimasukkan dalam sistem kawalan pergerakan mengikut zon.

Artikel Berkaitan:

Sistem yang dilaksanakan bermula 1 Oktober lalu menyaksikan 18 daerah beralih ke pergerakan mengikut zon yang dibahagikan kepada lima zon berbeza manakala sembilan daerah lagi kekal dikenakan sekatan rentas daerah berikutan belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.