Ramai Felo Perdana berjaya dalam sektor awam, swasta dan politik

Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan Felo Perdana kepada ahli jemaah menteri bagi tahun ini di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan Felo Perdana kepada ahli jemaah menteri bagi tahun ini di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu menyifatkan program Felo Perdana memberi manfaat besar apabila ramai pesertanya berjaya dalam sektor awam, swasta mahupun politik.

“Hasil daripada pendedahan dan program Felo Perdana ini, sebahagiannya berjaya dalam politik dan ada yang jadi menteri.

“Dari segi kerjaya lain pula, saya percaya ramai yang berjaya hingga hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana Tahun 2021 di sini pada Rabu.

Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan sejak tahun 2013. Tahun ini merupakan tahun kesembilan pelaksanaannya dan telah mengumpulkan penyertaan lebih 600 anak muda.

Ia merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih belia yang berpotensi dengan kemahiran aras tinggi di samping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

Seramai 64 anak muda berprestasi tinggi terpilih sebagai peserta Felo Perdana Tahun 2021 bermula Rabu hingga 31 Disember, yang ditempatkan bersama mentor masing-masing terdiri daripada ahli Jemaah Menteri.

Ismail Sabri dalam pada itu meminta ahli Jemaah Menteri untuk memberi bimbingan kepada peserta Felo Perdana berkaitan aspek pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, objektif program Felo Perdana antaranya memberi pendedahan kepada anak muda untuk memahami serta mempelajari bagaimana kementerian-kementerian ditadbir.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, langkah membawa Felo Perdana ke Parlimen juga memberi pendedahan pembelajaran dan ilmu perundangan kepada peserta.

“Tahniah dan syabas kepada mereka yang terpilih, ramai yang memohon tetapi hanya sebahagian dapat dipilih,” katanya. - Bernama