X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

PH tolak Sulaiman sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’

Pakatan Harapan
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menolak Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka seperti yang dinamakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad.

Majlis Presiden PH berkata, Sulaiman jelas telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri.

“Perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti yang diketuai Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Idris Haron dan blok minoriti yang diketuai Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

“Malah seperti yang berlaku di Perak pada tahun 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada tahun 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri,” kata Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kamel pada Isnin mengumumkan Sulaiman mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedia ada.

Pembentukan kerajaan sementara itu susulan pembubaran DUN Melaka ke-14 oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada 4 Oktober lepas.

Sementara itu, Majlis Presiden PH berkata, mereka menolak pembubaran DUN dan mendakwa ia sebagai tidak berperlembagaan.

Kata mereka, Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 dan terdapat gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN-ADUN.

“PH mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat,” kata mereka.

Tambah mereka, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk kerajaan ‘caretaker’ diwakili oleh golongan majoriti ADUN-ADUN.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!