Projek Pakej Rangsangan Ekonomi mula keluarkan hasil

Azulita meninjau projek tanaman cendawan tiram yang diusahakan PPK Pekan sempena perasmian projek tersebut di Pekan pada Selasa.
Azulita meninjau projek tanaman cendawan tiram yang diusahakan PPK Pekan sempena perasmian projek tersebut di Pekan pada Selasa.
A
A
A

PEKAN - Kesemua 211 Pertubuhan Peladang di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerima manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Covid-19 apabila projek pertanian dan ternakan yang digunakan menerusi peruntukan tersebut sudah mengeluarkan hasilnya.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, peruntukan sebanyak RM200,000 bagi setiap Pertubuhan Peladang pada tahun lalu mencapai sasaran yang diharapkan.

Beliau berkata, selain membantu meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara dalam tempoh pandemik Covid-19, ia dapat menjana pendapatan ahli Pertubuhan Peladang terlibat.

"Matlamat peruntukan ini bagi meningkatkan pengeluaran hasil tanaman dan ternakan yang sebelum ini terjejas disebabkan pandemik Covid-1," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Projek Cendawan Tiram Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan di sini pada Selasa.

Azulita berkata, LPP Pahang melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kini dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran cendawan di negeri ini.

"Walaupun cendawan bukan sebagai hasil utama, namun tanaman itu cukup berpotensi dan mendapat permintaan tinggi.

"Terdapat tiga PPK di negeri ini termasuk PPK Pekan yang mengusahakan tanaman cendawan tiram kini sudah mula mengeluarkan hasil," katanya.

Beliau berkata, projek tanaman cendawan yang diusahakan PPK Pekan sudah mengeluarkan hasil pertama sebanyak 1.5 tan pada Mei lalu dengan pulangan sebanyak RM18,000.

Artikel Berkaitan:

"Cendawan tiram kelabu dari benih 60 hari ini mampu dituai antara lima hingga enam kali setahun.

"Daripada 25,000 bongkah yang diusahakan, anggaran hasil sehingga lima tan setahun dengan pulangan dianggarkan sebanyak RM60,000," katanya.

Tambah beliau, cendawan tidak menghadapi masalah dalam aspek pemasaran kerana permintaannya cukup tinggi.

"Selain melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), hasil cendawan juga turut dipasarkan di Peladang Outlet," katanya.