X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Selangor bela nasib anak yatim piatu akibat Covid-19

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meneliti keperluan serta perancangan yang bersesuaian bagi membela nasib kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan antara usaha pemulihan pasca Covid-19 berikutan penularan wabak berkenaan memberi kesan kepada pelbagai perkara.

Beliau berkata, jumlah kanak-kanak terbabit ketika ini sedang dikenal pasti selain pihak kerajaan negeri akan melihat keperluan kritikal yang harus diberikan kepada mereka.

“Mereka bukan hanya perlu bakul makanan. Jadi kita mungkin beri bantuan guaman atau hubungkan dengan agensi tertentu seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya hak mereka terjaga.

“Kalau tidak mereka akan terlepas begitu sahaja terutama jika keluarga jauh. Kita akan pastikan hidup mereka terjamin termasuk hak jagaan, urusan harta pusaka kerana mereka masih muda dan tak tahu uruskan,” katanya.

Amirudin ditemui pemberita selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan tempat bergantung apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan pada Isnin.

Lima beradik terbabit kehilangan bapa, Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos manakala ibu mereka, Ida Haryanie Abdul Razak, 38, pula meninggal dunia pada Khamis lalu di Hospital Putrajaya.

Muhammad Hadhrami, 11, Husna Humaira, 9, Muhammad Harraz, 8, Muhammad Hawwas, 6, dan Hannan Humaira, 3, kini dijaga oleh datuk dan nenek mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!